KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak membuka mata dan telinga
dalam mendengar keluhan rakyat dan kritikan dari pihak berpengalaman
berhubung perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua
Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Terbaru katanya, desakan dari
bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang
menyeru Putrajaya menangguhkan pelaksanaan GST kerana bimbang dengan
prospek ekonomi negara.
"Beliau seorang yang berpengalaman. Ia satu penegasan yang cukup tegas daripada bekas menteri kewangan.
"Kerajaan tidak boleh sekadar memekakkan telinga," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau
yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, desakan Tengku Razaleigh
itu juga senada dengan kebimbangan yang dizahirkan bekas Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa negara tidak akan mencapai status
negara maju jika mengejar negara berpendapatan tinggi.
Mahfuz
berkata, kerajaan sebenarnya gagal dalam mencari sumber pandapatan
baharu selain minyak, yang tidak membebankan rakyat sehingga terpaksa
mengenakan GST.
Menurut beliau lagi, dengan angka 7.9 juta rakyat
Malaysia layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), ia juga
memberi gambaran bahawa hasil limpahan pendapatan dari sumber minyak
negara, gagal untuk melonjakkan pendapatan rakyat.
Apa yang
berlaku ujarnya, rakyat dimangsakan oleh kerajaan BN yang lemah dalam
pengurusan kewangan negara, termasuk ketirisan wang berbilion ringgit.
"Mereka
tak berusaha untuk tutup ketirisan, tetapi mereka mengambil jalan mudah
memperkenalkan GST agar rakyat yang mengambil tanggungjawab menampung
wang yang hilang akibat kelemahan mereka.
"Sebab itu pada saya,
apa yang kita ada sekarang adalah sebuah kerajaan yang pemalas. Malas
untuk fikir sumber baharu yang tidak membebankan rakyat," katanya.
Semalam, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menggesa kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST.
Beliau berkata kerajaan memekakkan telinga dan enggan mendengar rintihan rakyat.
"Besar
kemungkinan pelaksanaan GST pada tahun hadapan akan menambahkan lagi
tekanan terhadap kos sara hidup walaupun kesannya sekali sahaja kerana
ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi.
"Demi melegakan beban
kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguh
sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat,"
katanya.
hd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...