SHAH ALAM, 30 JUN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
bersetuju memberikan peruntukan awal RM27 juta bagi kerja menaiktaraf
kawasan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Katanya, peruntukan terbabit merangkumi pembinaan menara masjid,
kawasan sekitar dan pembaikan struktur bangunan serta ruang dalaman.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri sangat berterima kasih kepada bekas
Imam Besar masjid ini iaitu Allahyarham Ahmad Mustafa Sidin yang sangat
aktif mengimarahkan masjid dengan pelbagai program yang diadakan.
“Oleh
itu, kita mahu masyarakat selesa dengan keadaan masjid dan menganggap
seperti berada di rumah bagi meneruskan kesinambungan itu.
“Kerajaan Negeri memberi kepercayaan penuh. Jika sebelum ini,
Allahyarham banyak menghabiskan masa di masjid, jadi kita mahu semua
orang selesa,” katanya dalam majlis mengedar bubur lambuk, di sini,
semalam.
Abdul Khalid berkata, pendekatan itu diambil bagi mengingati jasa dan
usaha pemimpin muda yang banyak menyumbang tenaga menguruskan masjid.
Selain itu, beliau turut memaklumkan akan menyelesaikan masalah
kira-kira 40 peniaga bazar di kawasan masjid itu yang tidak dibenarkan
berniaga atas sebab tertentu.
“Saya
akan berjumpa dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
bagi membincangkan perkara itu. Saya juga akan meminta beliau mencari
tempat berniaga alternatif kepada peniaga terbabit,” katanya.
Pada masa sama, 2,400 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada
orang ramai secara percuma bagi hari pertama menyambut Ramadan.
Pada tahun ini, 1,200 bungkus bubur lambuk akan diedarkan setiap hari
kepada orang ramai secara percuma bermula 1 hingga 27 Ramadan yang
diagihkan selepas waktu Asar setiap hari kepada orang ramai.
sk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...