SHAH ALAM, 14 JULAI: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim hadir ke Majlis Berbuka Puasa di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di
Bukit Jelutong Shah Alam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak selepas menerima titah cadangan Sultan Selangor sendiri.
Exco Agama Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata Sultan Selangor turut
mencadangkan Masjid Tengku Ampuan Jemaah dijadikan lokasi majlis bagi
menggantikan lokasi awal yang dicadangkan sebelumnya iaitu Masjid Jamek
Raja Tun Uda di Seksyen 16, Shah Alam.
Sallehen berkata, hal itu berikutan Sultan Selangor sentiasa mahu
hubungan baik dan kerjasama secara profesional antara Kerajaan Negeri
dan Pusat terus terjalin dalam memastikan pelbagai manfaat yang mampu
diperoleh kerajaan serta rakyat Selangor.
“Kebetulan
apabila semua dah setuju, Tuanku pula menawarkan supaya program itu
dibuat di Masjid Bukit Jelutong iaitu sebuah Masjid DiRaja dan masjid
baginda sendiri.
“Di pihak Kerajaan Negeri, Tuanku juga mencadangkan Menteri Besar dan
Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir hadir. Tidak ada kena
mengena dengan jerat Umno, pro-Umno atau sebagainya seperti yang didakwa
dalam akhbar.
“Dalam majlis itu, kita tidak benarkan sebarang ucapan Perdana
Menteri seperti tahun lepas tetapi kedatangan beliau untuk berbuka puasa
kita raikan. Sebagai Perdana Menteri tentu tidak patut kita tolak terus
kedatangan beliau dan Tuanku sendiri menitahkan ada hubungan baik
antara Kerajaan Negeri dan Pusat,” katanya ketika dihubungi Selangor
Kini.
Beliau berkata, baginda menawarkan Masjid Tengku Ampuan Jemaah bagi
melancarkan lagi majlis kerana terdapat beberapa kerja baik pulih
kebocoran sedang dijalankan dan kawasan parkir yang terhad di Masjid
Jamek Raja Tun Uda.
Ketika menyentuh kronologi persiapan sebelum majlis itu diadakan,
Sallehen berkata, pihaknya terlebih dahulu memanggil semua yang terbabit
daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak pengurusan
masjid sendiri bagi mengambilalih hak mengendalikan majlis dari Unit
Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Katanya,langkah
itu diambil bagi mengelakkan acara tahunan itu dicemari ucapan
mengkritik Kerajaan Negeri oleh Perdana Menteri seperti yang berlaku
dalam majlis berbuka puasa tahun lepas.
“Tahun lepas Perdana Menteri ada hadir Majlis Berbuka Puasa di
Selangor. Ketika itu, beliau mengambil kesempatan mengkritik Kerajaan
Negeri yang ketika itu pengurusan masjid berurusan terus dengan ICU
tanpa melalui JAIS.
“Dalam majlis itu, Perdana Menteri datang berucap dan saya mendapat
laporan daripada orang ramai yang hadir ketika itu termasuk pegawai JAIS
sendiri, ucapannya agak memberi pandangan negatif kepada Pakatan Rakyat
(PR) dalam premis Kerajaan Negeri dan JAIS.
“Oleh kerana itu, saya panggil satu mesyuarat dan kita putuskan tidak
menolak kehadiran Perdana Menteri untuk berbuka puasa tetapi premis itu
adalah milik kita, yang mana kita tuan rumah. Jadi, kita yang patut
mengendalikan majlis itu dan ICU hanya boleh beri peruntukan,” katanya.
Selepas ICU bersetuju menyerahkan hak mengendalikan program kepada
Exco Kerajaan Negeri, beliau mengarahkan pengurusan masjid mengendalikan
perjalanan majlis tanpa ada sebarang ucapan dalam atur cara majlis.
sk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...