PULAU PINANG 2 JUN: KEADILAN mempersoalkan apakah keistimewaan ahli
perniagaan yang rapat dengan perdana menteri, Deepak Jaikishan
dibenarkan mendapat pinjaman RM32 juta tanpa faedah.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata,
sedangkan pelajar terpaksa meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional dan dikenakan faedah.
“Pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN dikenakan faedah sebanyak 4 peratus. Jika tak bayar akan disenarai hitamkan.
“Deepak yang berhutang dengan Bank Rakyat pula tidak dikenakan
apa-apa faedah walaupun pinjaman RM32 juta yang mahu dibayar selama 10
tahun, lebih banyak daripada seorang pelajar yang berhutang PTPTN,” ujar
beliau.
Beliau berkata demikian mengulas isu pinjaman tanpa faedah oleh Bank
Rakyat kepada ahli perniagaan itu, seperti mana didedahkan bekas
Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik baru-baru ini.
“Kenapa ada perbezaan besar skim pinjaman bank dalam negara ini jika dibezakan antara rakyat biasa dengan Deepak?
“Apa istimewanya Deepak dengan peminjam lain yang meminjam di Bank
Rakyat,” soal Saifuddin semasa berucap di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang
dalam program ceramah isu semasa ‘kebangkitan reformasi 2.0′, semalam.
Katanya, sekiranya tindakan ini berterusan semata-mata untuk
menguntungkan kroni Umno BN, banyak institusi kewangan akan menanggung
kerugian.
“Bank akan lingkup, kroni senang lenang, rakyat jadi mangsa penipuan
dan ketidakadilan atas sikap menteri yang berat sebelah. Kalau kerajaan
berani, siasat menteri yang bernama Hasan Malek dengan segera.
“Jika kerajaan bacul, tidak mahu bertindak, rakyat mesti bangun untuk
menentang penipuan yang sedang ketara berlaku di hadapan mata,” ujar
beliau lagi.
Saifuddin juga berkata, pendedahan yang dibuat oleh bekas Pengerusi
Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik terhadap salah laku menteri, Datuk
Seri Hasan Malek tidak harus dipandang enteng
Ini kerana katanya, ia melibatkan kredibiliti Datuk Seri Najib Razak
sebagai Perdana Menteri, sekiranya gagal bertindak terhadap anggota
kabinetnya.
“Kita yakin bahawa kerajaan pimpinan Najib akan kelu dan kaku tidak berani bertindak terhadap Hasan Malek.
“Najib mesti buktikan, Umno dan BN tidak melindungi Hasan Malek.
Mereka juga mesti buktikan Deepak tidak punya kekebalan jika dibezakan
dengan peminjam lain, “jelas beliau lagi.
kd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...