Pages - Menu

Pages - Menu

Jumaat, April 11, 2014

Kami mahu GST dimansuh, bukan tangguh... Faham!!!!!


Saya pelik melihat rakan-rakan saya dan juga pejuang-pejuang Facebook agak segan membicarakan tentang GST yang baru saja diluluskan di Dewan Rakyat, yang disokong penuh oleh ahli-ahli parlimen BN pada 7 April lepas.

GST adalah sesuatu yang tidak diperlukan oleh negara ini. Ia menaikkan harga segala barangan di sekeliling kita dari yang sekecil-kecil hingga yang sebesar-besarnya. Ia mengakibatkan yang miskin menjadi lebih miskin.

Ia menyebabkan seorang ibu terpaksa bekerja membantu menyara keluarga meninggalkan anak-anak di rumah pengasuh. Ia menyebabkan seorang bapa terpaksa bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan lalu meninggalkan ruang yang amat sedikit untuk bersama dan mendidik anak-anak. Lalu anak-anak tidak diasuh dengan sempurna, lalu terpengaruh dengan perkara yang tidak baik, lalu makin bertambahlah masalah sosial di negara ini. Anda katakan keharmonian negara bermula dari rumah tangga yang sempurna, jadi bagaimana?

GST menyebabkan rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Tekanan tidak baik untuk kesihatan. Tekanan perasaan menyebabkan manusia hilang kawalan. Jenayah akan menjadi-jadi.

Tekanan perasaan menyebabkan manusia lebih jauh dari Tuhan. Anda pernah dengar cerita-cerita di Facebook tentang umat Islam yang terpaksa murtad untuk mendapatkan bantuan kewangan disebabkan kefakiran hidup? Pernahkah anda mendengar hadis bahawa hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran? Dan anda masih mengatakan anda seorang pejuang akidah?

Anda mahu mengambil contoh negara-negara maju yang tiada masalah melaksanakan GST. Biar saya ceritakan keadaan di negara-negara Barat. Mereka laksanakan GST, tetapi tidak mencukai tinggi harga keretanya. Mereka laksanakan GST, tetapi pendidikan percuma, tidak perlu pinjam PTPTN untuk sambung belajar di universiti kerana semuanya ada biasiswa. Mereka ada gaji minimum berasaskan jam, bukan bulan. Mereka ada bantuan sosial untuk anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang yang baru kehilangan kerja. Lebuh raya mereka mengenakan tol yang amat minimum. Harga minyak petrol mereka lebih rendah dengan nilai mata wang mereka yang tinggi.

Mengapa kita tidak mahu ikut contoh sebegini? Mengapa kita suka ambil separuh dan meninggalkan separuh lagi? Sudah terbiasa dengan cara kita ambil sebahagian ajaran al-Qur’an dan meninggalkan sebahagian yang lain?

Maka rakan-rakan dan para pejuang Facebook. Marilah kita turut bawa jihad dari Syria itu lebih dekat dengan rumah, ke Rohingya lalu ke negara kita sendiri. GST ialah undang-undang zalim. Ketirisan dan pembaziran oleh kerajaan tidak mahu dibasmi, tetapi cukai mahu ditambah.

Imam Nawawi pernah diminta oleh khalifah untuk mengeluarkan fatwa membenarkan kerajaan mencukai lebih rakyat untuk membiayai peperangan mempertahankan negara. Beliau menolak malah menegur khalifah supaya menghentikan kemewahan perbelanjaan kerajaan terlebih dahulu. Darurat apakah pula yang sedang kita hadapi sekarang?

Justeru marilah kita sama-sama berbuat gegak-gempita di seluruh negara, di Facebook, di blog, di kedai kopi, di tempat kerja, di taman atau di mana sahaja menceritakan bahaya GST. Sebarkan berita tentang kezalimannya. Ini adalah untuk kebaikan masa depan anda. Nanti jika ia telah dilaksanakan, anda dan orang-orang yang anda sayangi juga yang susah. Jangan sampai sudah terlajak perahu tidak mampu diundur lagi.

Kita bukan mahu GST ditangguh atau dikaji semula. Kita mahu GST dimansuhkan serta-merta.

hd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...