Pages - Menu

Pages - Menu

Rabu, April 02, 2014

Jadikan ajaran Al-Quran teras kehidupan, bina tamadun - MB selangor

KLANG, 2 APRIL : Masyarakat disarankan supaya kembali kepada ajaran al-Quran ketika berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah berkaitan hal kemasyarakatan, politik, budaya dan sebagainya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata isi kandungan al-Quran meliputi dan mencakupi seluruh permasalahan manusia dan alam baik dalam soal akidah, ibadah, muamalah mahupun akhlak.

QuranKatanya umat Islam pada hari ini berdepan pelbagai cabaran getir baik dari sudut ekonomi mahupun sosial meskipun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

Lebih menggusarkan, katanya beraneka ajaran songsang dan terpesong mudah ditemui kini akibat kesesatan dan kurangnya ilmu serta kefahaman agama di kalangan masyarakat.

“Pihak yang dianggap ‘guru agama dan mahir al-Quran’ pula ada sesetengahnya yang menyalahgunakan kepandaian itu untuk faedah diri, misalnya menjadi ‘bomoh’ dengan mencampurkan ritual dan tingkah laku era jahiliah yakni bertentangan dengan Islam.

IMG_7873a“Sikap suka meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap perkara yang tidak dibuktikan secara ilmuan menyebabkan masyarakat di negara ini mudah tertipu oleh pelbagai pihak yang gemar mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran peringkat negeri Selangor di Masjid Kampung Raja Uda, di sini malam tadi.

Hadir sama, ahli Exco negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Zaharin Mohd Saad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Majlis bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah yang dianjurkan saban tahun ini menjadi antara program rasmi kerajaan negeri dalam usaha mendaulatkan al-Quran.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata amat wajar apabila DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya masyarakat di negeri ini serius membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian bagi mengelakkan kerapuhan akidah di kalangan umat Islam.

Beliau berkata al-Quran masih relevan untuk diguna pakai sehingga ke hari ini dalam pelbagai jurusan termasuk pentadbiran negara, politik, ekonomi, sains, pembangunan dan sebagainya.
Katanya al-Quran selayaknya menjadi rujukan bagi penggubalan perlembagaan dunia kerana ia menjadi pegangan lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia kini.

“Dalam hubungan ini, al-Quran adalah risalah penyelamat umat, maka amatlah tidak wajar sekiranya ia diperlakukan hanya sebagai sebuah kitab yang disimpan sehingga usang dan berdebu.

“Sebenarnya jika kita berusaha memahami dan menghayati al-Quran, kita mampu mendapat keinsafan dan menambah rasa cinta kepada Allah SWT setiap kali membacanya,” katanya lagi.

EZY/ selangorku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...