Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) bimbang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan April tahun depan dibuat hasil nasihat “Qarun” luar negara seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan “penyangak kewangan”.
Membaca sepotong ayat al-Quran mengisahkan seorang raja menolak permintaan mengenakan cukai kepada kaum lemah, Abdul Hadi berkata, pelaksanaan GST perlu dibuat dengan melihat situasi kewangan negara.
"Adakah negara kira dalam keadaan darurat sehingga memerlukan cukai GST (dan) percukaian yang sentiasa dibuat semasa ke semasa. Saya berpendapat menggunakan kaedah percukaian ini adalah (daripada) nasihat yang salah.
"Saya bimbang, (pelaksanaan cukai) ini nasihat daripada 'Qarun' luar negara. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, penyangak-penyangak kewangan termasuk yang ada dalam negara kita.
"Penyangak-penyangak kewangan yang mahu menggalakkan diri mereka menunaikan amanah dan tanggungjawab, untuk menimpa dan mengenakan (cukai) kepada rakyat," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang GST di Dewan Rakyat tengah hari ini.
Abdul Hadi berkata pelaksanaan itu boleh dielak apabila negara menguruskan sumber dengan "petunjuk yang betul" bagi menambah pendapatan termasuk memanfaat hasil sedia ada tanpa mengadakan cukai baru kepada rakyat.
"Soalnya apakah pengurusan hasil bukan cukai seperti Petronas dan lain-lain diuruskan dengan betul bagi menambah hasil negara?
"Adakah cukai daripada mereka layak, sepatutnya membayar cukai selama ini diurus dengan baik, sehingga (boleh) membanyakkan hasil negara.
"Ini perlu dilihat dengan petunjuk dengan betul untuk mengendali sumber sedia ada," katanya.
Selain itu, Abdul Hadi turut menempelak sikap kerajaan yang berdepan 'penyakit' "membazir, boros, bocor, hutang, rasuah dan tak mampu berjimat" dengan projek dilaksanakan.
"Projek itu ada tapi membazir (seperti) projek mewah, saja nak tunjuk lagak, nak berhibur. Boros dapat dilihat projek ditambah peruntukan..." katanya sambil beberapa MP BN bangun untuk mencelah bagi mendapatkan penjelasan daripadanya.
'Kami bukan Melayu mudah lupa'
Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak mengendahkan permintaan mereka memandangkan "masa tidak cukup" dan meneruskan perbahasannya.
Speaker Datuk Ismail Mohamed Said turut menegur pemimpin BN yang kerap mencelah sedangkan peraturan mesyuarat 37(2) menetap supaya tidak perlu mencelah jika seseorang MP enggan memberi laluan.
Abdul Hadi kemudiannya berkata kerajaan seringkali menyediakan perbekalan tambahan yang didakwanya dibuat kerana boros dan kebocoran dan bukan disebabkan oleh perkara yang sebenarnya.
"Berlakunya bocor, hutang dengan riba yang semakin meningkat. Inilah yang merudumkan ekonomi kuasa besar dunia (seperti) Amerika dan Eropah.
"Kalau mampu berjimat, tak ada boros, membazir, hutang dan rasuah diatasi, maka tak perlu GST. GST diadakan untuk menampung defisit," katanya sambil sekali lagi beberapa MP BN termasuk Tasek Gelugor Shabudin Yahya bangun mencelah untuk mendapatkan penjelasan.
Selepas beberapa kali Shabudin berdiri meminta celahan, akhirnya Abdul Hadi memberi laluan kepadanya yang menempelak kenyataan Abdul Hadi supaya mengemukakan bukti terhadap dakwaannya.
Dan pada masa yang sama, Shabudin menjelaskan negara memerlukan wang dengan melaksanakan projek pembangunan dan juga integriti yang dimantap dari masa semasa bagi mengelakkan penyakit yang dimaksudkan Abdul Hadi.
Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga ADUN Rhu Rendang kemudiannya bangun dan membidas sinis dan berkata:
"Mungkin Yang Berhormat tidak baca Laporan Audit Negara. Mesti baca laporan audit negara tiap-tiap tahun, dan kami bukan Melayu yang mudah lupa.
"Kami tidak lupa peristiwa IMF, Perwaja, KWSP, Tabung Haji, kapal terbang Skyhawk, kapal selam dan lain-lain lagi. Tidak ada apa-apa tindakan.
"Tindakan terhadap ikan bilis kecil, yang besar tak ada tindakan, yang kena tindakan pegawai, orang politik tak ada tindakan, menteri tak kena tindakan... Mana integriti?" katanya sambil diiringi sorakan daripada MP Pakatan Rakyat.
mk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...