KUALA LUMPUR 20 MAC: Kerajaan Malaysia sepatutnya mampu mengesan
MH370 dengan menggunakan sistem radar untuk mengesan pesawat berkenaan,
kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada wartawan CNN, Christiane Amanpour, Anwar berkata
kerajaan membeli sistem radar marconi semasa beliau menjadi timbalan
perdana menteri yang berupaya mengesan pergerakan pesawat.
“Ia
mempunyai keupayaan untuk mengesan sebarang pasawat dari Barat – atau
Timur ke Pantai Barat, dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi.
“Saya dapati amat mengejutkan apabila mereka tidak mampu (memberi jawapan), atau mereka berikan hanya sedikit maklumat.
“Masalahnya kewibawaan kepimpinan. Mereka bersalah kerana terdapat
tanggapan umum mereka tidak membukanya, ini sistem kerja yang tidak
telus,” katanya dalam wawancara CNN yang disiarkan pagi ini (waktu
Malaysia).
Kecewa dengan maklumat palsu mengenai kehilangan MH370, Anwar
berkata, ada sesetengah pihak cuba mengaitkan kehilangan pesawat
berkenaan dengan isu politik.
Anwar menambah, dirinya turut menjadi sasaran serangan yang
berterusan dan mengaitkan juruterbang berkenaan, Kapten Zaharie Ahmad
Shah mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Anwar berkata Zaharie sebenarnya mempunyai talian persaudaraan di sebelah menantu beliau.
“Apa yang menantu saya beritahu, Zaharie adalah saudara jauh, tetapi
menantu saya tetap panggil beliau ‘pakcik’. Panggilan tersebut adalah
amalan biasa di sini (Malaysia). Tapi saya memang mengenali
beliau..hanya sebagai aktivis parti (KEADILAN),” katanya.
Sementara itu, Anwar menolak laporan media bahawa juruterbang
pesawat berkenaan bertindak demikian kerana kecewa dengan keputusan
mahkamah rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya.
“Maklumat yang saya perolehi, rakan-rakannya terganggu dengan laporan
yang ditulis mengenai beliau – malah ramai yang lain turut terganggu.
Maksud saya, kami terkejut dengan kelajuan proses mahkamah rayuan.
“Tetapi saya rasa itu perkara biasa. Saya tidak fikir ia akan
menyebabkan seorang yang pakar dan berkaliber seperti beliau melakukan
apa-apa aktiviti yang tidak diingini. Saya yakin tentang itu,” ujar
Anwar.
Menurutnya lagi, Zaharie adalah salah seorang individu yang mencintai reformasi demokratik dan bukan seorang pengganas.
“Beliau menyokong pakatan kami yang berbilang kaum. Beliau menentang
sebarang bentuk ekstremis,” katanya yang mengakui pernah bertemu Zaharie
beberapa kali.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...