KUALA LUMPUR 21 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyelar pihak yang menuduh beliau cuba mempolitikkan isu kehilangan
pesawat MH370.
Beliau malah membidas kepimpinan kerajaan BN dalam menangani isu kehilangan pesawat berkenaan.
Berucap
pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Anwar berkata, media asing
kini beratur untuk menemuramahnya kerana kecewa cara pengurusan Perdana
Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak dan kabinet yang didakwa gagal
memberi jawapan dan maklumat kepada media mengenai perkara ini.
“Mereka (BN) marah bila saya ditemuramah. (Mereka kata) Anwar ini siapa?. Tetapi semua orang mahu maklumat.
“Di Australia, PM Tony Abbot dapat maklumat terus bentang di
Parlimen. Berbeza dengan PM Malaysia,” kata Anwar di Taman Mewah, Kajang
semalam.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merujuk keengganan Parlimen membahas
isu pesawat dan sesi taklimat yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN
kelmarin.
Dalam temuramah bersama CNN semalam, Anwar berkata, radar Malaysia sepatutnya berkemampuan mengesan pesawat MH370 yang hilang.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berkata, pada
masanya Malaysia telah membeli sistem radar Marconi yang merupakan
antara paling berkesan di dunia untuk kawasan Utara Malaysia.
“Saya Menteri Kewangan (ketika itu) saya bayar (untuk kerajaan)…Saya
tahu radar di Utara dan Pantai Timur boleh tengok kapal terbang yang
lalu siang, malam, pagi, petang,” kata Anwar kepada kira-kira 200
hadirin malam tadi, lapor Malaysiakini.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777-200ER hilang secara
misteri pada awal pagi 8 Mac, dan operasi mencari dan menyelamat
dianggap terbesar dalam sejarah penerbangan.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...