Pages - Menu
▼
Pages - Menu
▼
Jumaat, Februari 07, 2014
Saya Mungkin MB Selangor Yang Baru..
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan beliau mungkin akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dun Kajang. Bercakap secara eksklusif kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam, Anwar berkata: "Kemungkinan itu ada. Kita kena bincang ikut proses Pakatan. Ada urusan berkenaan dengan Tuanku (Sultan Selangor) kerana isu Perlembagaan ini bukan hanya naik mahkamah saja.
" Menurut Anwar, perbincangan (dengan rakan Pakatan) perlu untuk dapatkan permuafakatan dan kerjasama. Beliau kemudian sekali lagi menegaskan, "kemungkinan itu ada." "Cara kita berbeza dengan institusi raja dan saya sudah ada pengalaman. Saya tidak mahu ulas kedudukan saya," ujarnya. Anwar pada 28 Januari lalu selepas diumumkan akan bertanding kerusi Dun Kajang pada PRK ini, menyatakan Abdul Khalid akan kekal dan dakwaan beliau akan ambil alih jawatan menteri besar hanya spekulasi.
Pada temu bual semalam, Ketua Pembangkang itu bagaimanapun dalam nada berbeza menegaskan apa-apa jawatan termasuk Menteri Besar Selangor, penyandangnya bukan tetap. “Ya (ada yang ganti), ia bukan jawatan tetap (Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim). Bukan saja berlaku dalam politik, malah dalam dunia sekali pun. Kita tidak akan beri jaminan itu (kekal). (Jawatan menteri besar) itu kita akan bincang cari jalan yang terbaik," katanya.
Mengenai PRK Kajang, Anwar menyatakan beliau mahupun Pakatan tidak anggap mudah untuk menang. “Saya akan turun bawah jumpa rakyat. Kalau bertanding, saya bukan Ketua Umum, saya hanya calon. Di Permatang Pauh, saya turun rata kedai kopi. Kalau saya balik, ada orang meninggal, jam 1 atau 2 pagi pun saya akan melawat. “Insya-ALLAH, kalau saya menang di Kajang pun, saya kena jadi macam itu. Nasib baik Kajang, dekat dengan rumah saya Segambut,” katanya.
PRK Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan Adun daripada PKR, Lee Chin Cheh secara mengejut pada 27 Januari lalu atas alasan tidak mampu berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan berkesan. Sehari kemudian, Abdul Khalid mengumumkan Anwar dipilih sebagai calon PRK kerusi Dun berkenaan. Ini sekali gus mencetus polemik bahawa peletakan jawatan Chin Cheh ada kaitan dengan percaturan untuk Anwar mengambil alih tempat Abdul Khalid sebagai menteri besar yang dilaporkan enggan menerima Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai penggantinya.
Sinar Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...