SHAH ALAM, 31 JAN: Pakatan Rakyat (PR) dijangka mempunyai kelebihan
berbanding Barisan Nasional (BN) daripada segi penggunaan isu yang mampu
menambat hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang bakal
dilangsungkan dalam masa terdekat.
Penganalisis Politik, Dr Maszlee Malik, berkata antara isu dijangka
mampu mempengaruhi pengundi akan dibawa PR dalam PRK terbabit seperti
kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
“Di pihak PR memang kelebihan ada dengan isu berkisar kos sara hidup
seperti kenaikan harga barang, kegagalan BN menunaikan janji sebelum
pilihan raya umum tidak menaikan harga barangan keperluan utama atau
tarif perkhidmatan tertentu,” katanya kepada Selangor Kini, di sini,
hari ini.
Dr
Maszlee yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), berkata beliau menjangkakan pengundi Cina di Kajang ketika ini
masih kekal dalam mood memilih calon PR sebagai wakil mereka di Dewan
Negeri Selangor.
Sementara itu, BN pula pada peringkat awal akan memainkan isu
perletakkan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Kajang.
Katanya, isu peletakan jawatan itu secara perlahan akan hilang ekoran penerangan yang dibuat barisan kepimpinan PR.
“Ramai terkejut dengan perletakkan jawatan, tidak kira penyokong
Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pengundi biasa di peringkat akar umbi
tetapi kita lihat dua tiga hari ini penjelasan oleh Rafizi, Dr Manuaty,
Khalid Samad dan kepimpinan PR lain akan meredakan suasana. Jadi isu
letak jawatan ini akan hilang.
“Manakala, isu prestasi ADUN lama bukan isu besar sebab bila Anwar bertanding, banyak isu nasional yang timbul,” katanya.
Dr Maszlee berkata, BN tidak mempunyai banyak pilihan melainkan
menggunakan strategi politik tipikal mereka dengan menyerang peribadi
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PR dalam PRK Kajang itu.
“Tun Mahathir sendiri sudah mula tidak menekankan isu persoalan
perletakan jawatan ADUN PKR tetapi main isu peribadi Anwar. Menyerang
peribadi Anwar juga bukan isu yang besar sebenarnya tetapi hanya itu
sahaja pilihan yang BN ada ketika ini,” katanya.
-NFN-
Selangorkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...