KUALA LUMPUR 24 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang
memainkan peranan penting untuk membekukan kenaikan tol lebuh raya
sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Menteri Kewangan.
Ahli
Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Anwar pada ketika itu
menggunakan kuasanya untuk membekukan kenaikan tol sebanyak beberapa
kali.
“Selepas beliau (Anwar) dipecat daripada kerajaan, kenaikan tol
menjadi urusan setiap tahun, dan akhirnya membawa kepada kenaikan tol
besar-besaran pada tahun 1999 hingga 2000,” kata Tze Tzin dalam
kenyataan.
Beliau berkata, semua perjanjian konsesi tol digubal dan diluluskan
Unit Perancang Ekonomi di bawah kuasa Perdana Menteri pada ketika itu,
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tze Tzin yang juga Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN berkata,
Menteri Kerja Raya yang bertindak menandatangani perjanjian konsesi
berkenaan sebagai wakil kepada kerajaan Malaysia.
“Peranan Menteri Kewangan adalah untuk mentadbir kontrak selepas ia
ditandatangani. Tidak syak lagi Anwar adalah Menteri pada tahun 1991
hingga 1998 iaitu semasa kontrak itu dimeterai, tetapi beliau hanya
mewakili dasar yang ditetapkan BN dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong
mendakwa Anwar bertanggungjawab terhadap perjanjian konsesi lebuh raya
di Malaysia membuktikan beliau (Tee Yong) mula mendapat suntikan ‘viagra
politik’.
Bagaimanapun
semangat yang ditunjukkan pemimpin MCA itu bagaikan ‘tidak kena tempat’
apabila terpaksa menuding jari kepada Ketua Umum KEADILAN untuk menutup
kegagalan Barisan Nasional (BN) selaku pemerintah.
Tze Tzin menggesa pimpinan baru MCA supaya bangkit menentang kenaikan
tol dan mempertahankan rakyat Malaysia daripada berdepan tekanan itu
dengan menyertai perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.
Katanya, MCA perlu mencontohi Pakatan Rakyat Selangor yang
mengarahkan anak syarikatnya selaku pemegang saham untuk membantah
kenaikan kadar tol di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) baru-baru ini.
“Kerajaan Selangor yang memiliki pegangan saham melalui anak
syarikatnya bertindak tegas untuk menghentikan kenaikan tol di Kesas.
“Bagaimana pula dengan MCA? Apa yang telah mereka buat?
“Jika mereka gagal untuk bersuara demi kepentingan rakyat, ia hanya
mengesahkan persepsi ramai bahawa MCA tidak berkuasa dalam BN,” katanya.
Selangor Kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...