Bantahan tolak cukai taksiran KL pada 16 Dis ini

VIDEO l 3:47 minit

Anggota Parlimen pembangkang Kuala Lumpur hari ini menggesa orang ramai agar menghantar bantahan kenaikan cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara beramai-ramai pada 16 Disember ini, sehari sebelum tarikh tutup penyerahan bantahan.

NONEAnggota Parlimen Batu, Tian Chua (kanan) menggesa penduduk KL yang mahu menyerahkan bantahan mereka agar berkumpul di dataran DBKL pada jam 11 pagi pada hari itu.

"Kita boleh menghantarnya secara beramai-ramai daripada menghantarnya secara bersendirian.

"Kita berkumpul di DBKL pada jam 11 pagi," kata Tian Chua pada sidang media bersama anggota Parlimen Kuala Lumpur di lobi Parlimen pagi tadi.
Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut hadir dalam sidang media sama menggesa agar semua pembayar cukai taksiran memfailkan bantahan mereka kepada DBKL.

Menurutnya, ia akan memudahkan proses rayuan di Mahkamah Tinggi kelak sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan kadar kenaikan cukai selepas bantahan mereka didengar.

Menurutnya, Seksyen 145 Akta Kerajaan Tempatan 1976 mewajibkan pembayar cukai taksiran untuk membuat bantahan secara bertulis sementara Seksyen 142 (2) pula mewajibkan pihak DBKL mendengar semua bantahan yang dilakukan secara bertulis kepada mereka.

Malaysiakini