KUALA LUMPUR:
Desas desus mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Perak
mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
baru-baru ini untuk melompat parti tidak perlu dilayan, kata Menteri
Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar).
Beliau berkata dakwaan di laman Twitter itu adalah mainan politik yang tidak boleh dipercayai, lapor Bernama.
"Biasalah untuk anda baca ura-ura macam-macam. Ada juga yang
menyatakan saya berjumpa beberapa wakil mereka (Pakatan Rakyat) untuk
bawa masuk ke sini (BNl). Jadi, tak boleh nak pakai benda-benda ini
semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Profesionalisme
1BestariNet Pengetua dan Guru Besar Sekolah-Sekolah Negeri Perak hari
ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan di laman Twitter @rumahghuntoh pada
Khamis lepas yang berbunyi "Pertemuan sulit dua YB BN Perak untuk
melompat parti dengan @anwaribrahim di Permatang Pauh berlaku kelmarin".
Zambry berkata beliau tidak akan melayan dakwaan itu sebaliknya akan
terus memberi tumpuan kepada pembangunan negeri untuk kesejahteraan
rakyat.
BN kini mempunyai 31 kerusi di Dun Perak dengan komposisi Umno (30)
dan MCA (1) manakala Pakatan Rakyat 28 kerusi dengan komposisi PAS (5),
DAP (18) dan PKR (5).
Jika dua Adun BN menyertai Pakatan Rakyat, kedudukan dalam Dun Perak
akan berubah kepada BN (29) dan Pakatan Rakyat (31) membolehkan
peralihan tampuk pemerintahan berlaku dengan majoriti mudah.
Peristiwa rampasan kuasa di Perak pada 2009 yang menyaksikan dua Adun
PKR dan seorang daripada DAP mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas
pro-BN kini menghantui kerajaan BN negeri pimpinan Zambry yang khuatir
peristiwa serupa berulang.
HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...