SHAH ALAM - PKR menasihatkan pengundi di Dun Sungai Limau supaya membuat
pilihan tepat pada pilihan raya kecil (PRK) minggu depan supaya tidak
terperangkap dengan janji manis yang bakal membebankan hidup rakyat
termasuk apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada
1 April 2015.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil menegaskan, rakyat sewajarnya
memilih wakil yang dapat membantu dalam menjimatkan penggunaan dana awam
daripada pemborosan, ketirisan dan penyelewengan agar ia dapat
dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat sepenuhnya.
"Pengundi perlu hantar mesej yang jelas dan mereka tidak mahu GST
membebankan hidup mereka apatah lagi masyarakat Melayu masih ramai yang
miskin di bawah pentadbiran Umno-BN.
"Saya harap pengundi sedar apabila memilih seseorang pemimpin kerana
ada implikasinya kepada hidup rakyat jika tersalah pilih," katanya
kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut kenyataan Ahli Parlimen
Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang
menyifatkan pembangkang 'menangguk di air keruh' apabila kerap
memutarbelitkan isu GST ketika berkempen PRK Dun Sungai Limau.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyifatkan kenyataan Reezal itu sebagai
tidak wajar dan tidak bersesuaian dengan amalan demokrasi negara ini
apabila beliau meminta pembangkang menghentikan mempolitikkan isu cukai
baru itu.
Tegasnya, rakyat Malaysia masih terkilan dengan tindakan kerajaan BN
selepas PRU13 lalu apabila menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20
sen, apatah lagi kehadiran GST yang hanya meningkatkan kos sara hidup.
"Kenyataan itu tidak sesuai dengan semangat demokrasi sekarang, kita perlu lihat kepada dasar secara keseluruhan.
"...sebelum perkenal cukai baru itu, kerajaan sepatutnya atasi
kelemahan mengurusan ekonomi negara, tiada guna pendapat meningkat jika
pemborosan dan ketirisan terus berlaku," katanya lagi.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...