Azmin: MB sedia timbang tambah peruntukan
Katanya, menteri besar menetapkan satu tarikh pada awal November depan untuk bertemu dengan BBC bagi memaklumkan sama ada cadangan mereka – yang disifatkan Khalid sebagai "cukup mengagumkan" – akan disertakan dalam bajet negeri itu
"Tan Sri Khalid pada kelazimannya membaca mana-mana memorandum daripada pelbagai pihak satu atau dia kali, tetapi daripada BBC, beliau baca tiga kali, kerana beliau berpendapat cadangan BBC cukup impresif.
"(Oleh itu) Beliau telah menetapkan satu tarikh untuk kembali kepada BBC untuk memaklumkan cadangan kami. Ini menunjukkan ada satu kerja yang positif bahawa kerajaan menerima pandangan kita," kata Azmin ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.
ADUN Bukit Antarabangsa itu menjangkakan pertemuan itu akan berlangsung minggu pertama awal November sebelum mesyuarat pra-bajet yang dijadual berlangsung 8 November depan.
Dalam pertemuan lebih tiga jam itu bermula 3 petang ini, Azmin berkata Khalid pada dasarnya bersetuju dengan pendirian BBC bahawa wang rezab negeri mesti dibelanjakan untuk pembangunan demi kebaikan rakyat negeri itu.
"Beliau juga akan meneliti cadangan BBC dalam bidang strategik untuk diberi peruntukan pembangunan," kata Azmin sambil menambah pertemuan itu yang dihadiri kira-kira dua pertiga daripada 44 ADUN Pakatan Rakyat.
BBC antara lainnya mencadangkan tambahan peruntukan untuk perumahan rakyat, isu tebatan banjir, isu pendidikan dan belia dan sukan termasuk meminta kerajaan negeri memantau prestasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan.
Beliau berkata cadangan untuk mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM100 juta dalam bajet tersebut dimaklumkan kepada mereka dalam satu taklimat oleh menteri besar 3 Oktober lalu.
Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata Khalid dalam pertemuan hari ini menyatakan kesediaan untuk meneliti semula rancangan tersebut.
Menteri besar mengambil kira pandangan BBC bahawa “tidak wajar untuk mengurangkan belanja pembangunan dalam suasana kemungkinan berdepan kegawatan ekonomi," katanya.
Azmin berkata, BBC menyambut baik kesediaan Khalid dan pegawai kerajaan negeri untuk memberi ruang untuk berbincang mengenai cadangan mereka selepas menerima keluhan daripada akar umbi.
"Saya akui ada (cadangan) yang penting, ada dan ada yang boleh ditangguhkan. Tetapi mesti ada tradisi perbincangan dengan BBC kerana kita mengetahui rakyat di bawah," katanya lagi.
Azmin berkata pertemuan itu berlangsung dengan keadaan baik, yang turut dihadiri exco kerajaan negeri, pegawai kerajaan dan speaker DUN Selangor.
Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...