PERMATANG PAUH 8 OKTOBER: Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan
pembaziran, pemborosan serta pelbagai penyelewengan bukti kegagalan
pemimpin dan Kerajaan BN yang memimpin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di
Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh pada 5 Oktober lalu.
Tegasnya, Laporan Audit tahun 2009, 2010, 2011 dan 2012 tidak banyak
berbeza. Wujud kebocoran dan ketirisan berterusan yang membuktikan
kegagalan kerajaan mengatasi masalah penyelewengan tersebut.
“Setiap tahun laporan demi laporan yang didedahkan, keadaan semakin
parah. Ini bukti rompakan terancang kerana mencuri dengan cara senyap
dan tersembunyi.
“Sebanyak 67.61 juta wang rakyat bagi Sambutan Hari Belia Negara
tahun 2012, pembaziran yang amat besar. Bayaran kepada artis K-Pop oleh
Kementerian Belia dan Sukan sahaja RM1.6 juta.
“Wang ini boleh digunakan untuk pelajar-pelajar IPT membiayai pembelajaran mereka tanpa dibebankan hutang PTPTN,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mengajak umat Islam agar senantiasa menjadikan
al Quran sebagai rujukan dalam apa jua aspek kehidupan maupun
pentadbiran.
Kegagalan menghayati tuntutan agama yang sebenar, katanya, akan
menyebabkan banyak penyelewengan dan pemborosan berlaku sehingga rakyat
menjadi mangsa melalui kenaikan harga barangan yang melampau.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau
Pinang, Datuk Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif
Bahardin, bekas Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan
kepimpinan masyarakat tempatan.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...