Cukai RPGT, henti PKLN antara cadangan bajet alternatif
Usaha menghentikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan mengkaji dasar perbelanjaan kerajaan, terutama dalam kontrak dan perolehan peralatan, adalah antara beberapa cadangan dalam Belanjawan Alternatif 2014 pakatan pembangkang.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata melalui belanjawan berkenaan pakatan pembangkang juga akan memperkenal sistem cukai keuntungan hartanah (RPGT) pada tahap sebelum 2007, iaitu cukai berperingkat pada kadar 30 peratus bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima peratus bagi penjualan pada tahun kelima.
"Ini bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah yang berlebihan," katanya pada sidang media mengenai Belanjawan Alternatif 2014 pakatan pembangkang di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, berkata PLKN akan dihentikan sementara waktu sehingga kajian dibuat oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC).
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, pada sidang media yang sama berkata melalui belanjawan alternatif 2014, pakatan pembangkang akan memberi peruntukan tambahan kepada sekolah aliran vernakular pada kadar RM300 bagi seorang pelajar setahun.
"Sebanyak 1,854 sekolah janaan rakyat atau pun yang ditakrifkan sebagai sekolah bahasa ibunda harus diberikan bantuan tambahan ikut kepala, ini akan melibatkan peruntukan RM22 juta setahun, untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan pembangunan sekolah bahasa ibunda, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina," katanya.
Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...