ADELAIDE (AUSTRALIA) 19 OKT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim diberi penghormatan oleh Persatuan Islam Australia Selatan
menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Abu Bakar Assidiq, Adelaide di
Australia semalam.
Masjid itu yang terletak di 52-54 Wandana Avenue Gilles Plain antara
pusat komuniti Muslim paling aktif di ibu negeri selatan Australia itu.
Ini merupakan pengiktirafan yang jarang diberikan oleh pegawai masjid kepada pemimpin luar negara.
Khutbah dengan tajuk Kebangkitan Dunia Islam, Peranan Minoriti Muslim
dalam masyarakat Barat disampaikan Anwar dalam Bahasa Inggeris.
Dalam lawatannya, Anwar dijemput menjadi panel pada forum di Festival
Idea, Perbezaan Pendapat dan Demokrasi yang berlangsung di Dewan
Universiti Adelaide hari ini.
Usaha Kerajaan Malaysia menghalang mahasiswa Malaysia menyertai
program dihadiri Anwar itu gagal apabila penuntut dan rakyat Malaysia
serta masyarakat tempatan beramai-ramai beratur panjang untuk mendengar
ucapannya.
Malah, sekumpulan pelajar Malaysia mengadakan bantahan terhadap
arahan Kerajaan Persekutuan Malaysia yang melarang mereka menghadiri
program tersebut.
Mengikut agensi berita Australian Broadcasting Corporation (ABC),
hampir sedozen pelajar berhimpun sambil memakai topeng dan memegang
sepanduk tanda bantahan larangan itu.
Keadilan Daily 15 Oktober lalu mendedahkan amaran pegawai
penasihat pelajar di Jabatan Penuntut Malaysia, Sharezan Md Sheriff yang
diemel kepada mahasiswa Malaysia di Australia khasnya pemegang biasiswa
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar ‘menjauhkan diri’ dari menghadiri
sesi awam bersama Anwar.
Selepas forum, Anwar dijadual akan menghadiri program sembang santai,
#MeetAnwar di Watson Avenue, Rose Park, South Australia atas anjuran
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dengan kerjasama Saya Anak Bangsa Malaysia
(SABM) Adelaide.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...