Pages - Menu

Pages - Menu

Jumaat, September 27, 2013

Selesaikan masalah politik Malaysia, kata Anwar di New York

Masalah politik Malaysia perlu segera dicari penyelesaian sebelum ianya bertambah parah dan memberi kesan kepada ekonomi, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) di New York, Amerika Syarikat (AS).

Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tiba ke New York baru-baru ini agar mengadakan pertemuan pendamaian sejak ketegangan selepas pilihan raya umum lalu.

Sebuah dewan memuatkan rata-rata 200 pelajar kolej dan agensi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendengar syarahan terbuka berhubung penipuan pilihan raya, persempadanan semula, negara Islam, masalah defisit hinggalah kekurangan tenaga pakar tempatan.

"Ia satu kelemahan yang nyata kerana kerajaan Malaysia sekarang adalah kerajaan minoriti dan majoriti rakyat Malaysia dipinggirkan kerajaan.

"Inilah keresahan Umno yang tidak mahu berdialog kerana kami sendiri mendapat 52 peratus undi popular.
"Masalah Umno itu jelas terpancar terutama dalam pemilihan parti mereka sehinggakan pemilihan di peringkat pemuda mereka ada yang menggelar pencabarnya sebagai 'Bangla' dan macam-macam lagi.

"Ini menunjukkan kelemahan Najib yang tidak mahu berdialog kerana banyak perkara yang perlu dibincangkan seperti peningkatan kadar jenayah dan pelaburan asing yang berada pada tahap membimbangkan."
Mengenakan kaca mata hitam Christian Dior akibat jangkitan kuman pada mata, beliau menceritakan cabaran Pakatan Rakyat semasa pilihan raya umum lalu.

Nafi bertemu Najib

Dalam satu temubual berasingan, Anwar menafikan perjumpaan dengan Najib meskipun mereka berdua berada di New York pada masa sama.

"Pendirian saya jelas sejak dahulu lagi apabila kami mahu berdialog ia akan diadakan secara telus dan terbuka. Kami akan membariskan pemimpin PR.

"Saya tidak percaya pada pertemuan sulit kerana ia akan mencetus pelbagai persoalan," kata Anwar.
Mengulas mengenai kunjungan Presiden AS Barack Obama pada bulan hadapan, Anwar berharap Obama akan menyokong pembaharuan politiknya sebagaimana Al Gore pada 1998 sewaktu beliau dipecat dari kerajaan.

"Saya berharap Obama serius dalam misinya memberi mesej pembaharuan demokrasi, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

"Kami masih belum mengadakan rundingan tetapi jika Obama berpegang pada janjinya, beliau akan menemui pemimpin pembangkang sebagaimana dilakukannya dengan negara Arab," kata Anwar.

Hari sebelumnya dalam satu majlis makan malam di San Fransisco, Najib menyelar rakyat Malaysia di luar negara yang mengkritik kerajaan tetapi tidak menyumbang kepada pembangunan negara.

Semasa majlis makan tengahari yang dianjurkan Majlis Perniagaan AS-Asean dan Dewan Perniagaan New York, Najib memperkenalkan dirinya sebagai CEO Malaysia dan menjanjikan kestabilan dan pertumbuhan kepada pelabur Amerika.

Beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung PBB esok dan dijangka mengumumkan hasrat Malaysia bagi menjadi tuan rumah Majlis Keselamatan PBB untuk tempoh dua tahun dan dijangka akan disokong oleh 9 negara Asean lain selain AS dan Britain yang turut memberi galakan. – 27 September, 2013.

TheMalaysiaInsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...