Pages - Menu

Pages - Menu

Sabtu, September 14, 2013

Saya kenal arwah isteri Syed Husin - DSAI

KEPADA saudara seperjuangan Syed Husin Ali

Assalam...

Azizah memaklum kepada saya dengan nada sedih sedu bahawa isteri saudara tercinta, sahabat kami dan pejuang rakyat Allahyarhamah Sabariah Hj Abdullah telah kembali kerahmatullah dengan keadaan tenang di atas riba saudara.

Saya kenal Sabariah, mahasiswi Kelantan yang pendiam tatkala bersama di Universiti Malaya (UM).

Kampus, terutama di Dataran Sastera sekonyong-konyong riuh dengan berita pinangan saudara yang kemudian diijabkabul.

Pastinya kita sering juga berceloteh soal keluarga tatkala bersama merengkuk dalam tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Saya terasa lebih mengenali sosok Sabariah dan ketenangannya menghadapi suasana kelam dan duka sekian lama.

Hanya di kalangan yang mengharungi lingkaran perit derita dapat merasakan beban yang di tanggung mangsa tahanan dan isteri setia.

Namun yang lebih mengesankan adalah kegigihan Sabariah mempertahankan hak penghuni tanah “haram” yang di usir pemaju dan penguasa.

Saban bulan pejabat saya di Kementerian Kewangan atau Timbalan Perdana Menteri di hujani fax dari Sabariah mengenai rumah atau perkampungan rakyat yang bakal di robohkan oleh Bandaraya dan utamanya Selangor yang sedang pesat membangun.

Malah beliau pernah mencemaskan kami manakala dua bas peneroka Shah Alam yang diusir muncul di hadapan rumah rasmi kami.

Saya dan Azizah terpaksa jemput mereka untuk sembahyang berjemaah Maghrib dan makan sementara menghubungi MB Selangor ketika itu.

Dalam banyak kes, saya secara peribadi dikejutkan dari suasana selesa untuk menghubungi Datuk Bandar atau MB agar menjamin pampasan atau layanan lebih adil buat rakyat kerdil.

Sabariah memang berjasa kerana tidak ramai yang berani dan di berikan ruang terus ke pejabat peribadi saya.

Namun yang dikemukakan adalah nasib serta keluhan rakyat dan tidak pernah selain itu.

Di tahun-tahun kebelakangan ini saudara Syed Husin bisikkan kepada saya dan Azizah mengenai keuzuran Sabariah.

Tetapi bekalan doa, dukungan perjuangan tetap tegar.

Kami mendoakan agar roh Allahyarhamah disemadikan bersama para solehah dan dirahmati ALLAH SWT.

Artikel ini dipetik dari blog Anwar Ibrahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...