KUALA LUMPUR 21 OGOS: Umno BN sebagai Kerajaan Persekutuan gagal
melaksanakan tanggungjawab keadilan sosial bagi menyediakan pendidikan
percuma khususnya kepada golongan yang memerlukan.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang cadangan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraikan
peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman di bawah Sistem Maklumat
Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
“Ia
merupakan tindakan yang akan terus membebankan kewangan kepada peminjam
selepas mereka dibebankan untuk membuat bayaran pinjaman pendidikan,”
katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian bukannya usaha
kerajaan untuk memperolehi semula pinjaman berkenaan tetapi
tanggungjawab bagi melaksanakan keadilan sosial dalam bidang pendidikan.
Terdahulu, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, tindakan
menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS sebagai tidak mempedulikan
kebajikan terutamanya anak muda.
Katanya, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk
menafikan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi kepada
peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.
“Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga,
sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang
rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah
dan kereta,” kata Rafizi.
Beliau memberi amaran kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri
Idris Jusoh supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum
anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS.
“KEADILAN akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang
hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh Barisan Nasional,” kata
Rafizi.
Tidak sampai beberapa hari selepas isu ini dibangkitkan, kerajaan
hari ini membatalkan tindakan PTPTN dalam melaksanakan CCRIS terhadap
peminjamnya.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan di
facebooknya hari ini memaklumkan sejurus selesai bermesyuarat bersama
Jemaah Menteri.
Keputusan ini dibuat mungkin berdasarkan tekanan dari pelbagai pihak
yang tidak bersetuju berikutan pengumuman Idris bahawa PTPTN akan
melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara untuk menyenarai hitam
peminjam yang gagal membayar pinjaman PTPTN.
CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan
maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...