Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (gambar) memberitahu Pakatan Rakyat (PR) akan berbincang dengan Barisan Nasional (BN) berhubung beberapa isu berkaitan kepentingan rakyat akan tetapi menafikan berkenaan dengan Kerajaan Perpaduan.
Beliau menjelaskan antara topik perbincangan yang boleh diketengahkan adalah dari segi ekonomi, jenayah dan kewibawaan badan kehakiman.
“Kami belum berbincang tentang kerajaan perpaduan namun PR sememangnya terbuka bagi membincangkan isu yang berkaitan rakyat,” katanya semasa ditemui pemberita di majlis sambutan Aidilfitri di Bangsar hari ini.
Anwar semasa ditemubual portal berita asing Asia Sentinel mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menghubunginya untuk mencadangkan agar diadakan kerajaan perpaduan di antara Umno dan PR.
Dalam wawancara itu Anwar berkata, usaha itu dibuat oleh Najib namun beliau menolaknya melalui perantara sebelum ia sempat menjadi kenyataan.
Ini ekoran serangan yang dibuat oleh Utusan Malaysia ke atas masyarakat Cina dan India.
Ketua pembangkang itu menjelaskan isu asas mesti diselesaikan dahulu, hentikan serangan perkauman, kerana ia memerlukan kefahaman dan kesungguhan untuk reformasi dan perubahan.
Namun, sehingga itu, Anwar tidak menerima sebarang balasan dari Najib.
Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan Anwar berhubung wujudnya rundingan kerajaan perpaduan di antara pihak kerajaan BN dan PR.
Menurut Najib, dakwaan berkenaan hanyalah “daya imaginasi” kerana tidak ada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.
Katanya, perbincangan mengenai kerajaan perpaduan tidak mungkin berlaku selagi pihak pembangkang terutamanya Anwar serta kepimpinan PR masih tidak menerima keputusan pilihanraya umum ke-13 (PRU13) dan mempertikai keputusan tersebut.
Najib menjelaskan satu-satunya perjanjian politik yang ada ialah usaha yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebelum PRU13 bagi mendapat persetujuan agar mengelak daripada menyerang antara satu sama lain dan menerima keputusan pilihanraya.
Perdana Menteri menjelaskan pengesahan Anwar berhubung kerajaan perpaduan merupakan satu “ciptaan dan rekaan” kepentingan politik pihak pembangkang. - 25 Ogos, 2013.
TheMalaysiaInsider
Salah seorang mesti pembohong. Siapa dia? Faham2 dan lu fikirlah sendiri siapa yang kuat pembohong sebelum ini.
BalasPadam