Krisis Mesir: 'MB kritik PM'
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kerana didakwa gagal memainkan peranan dengan baik berhubung isu keganasan di Mesir.
Abdul Khalid berkata, kegagalan Malaysia untuk memainkan peranan utama di peringkat antarabangsa untuk mengajak badan dunia menamatkan krisis itu amat mengecewakan.
Menurutnya, krisis di Mesir kini menjadi bencana kemanusiaan yang tidak boleh digunakan untuk mendapat kelebihan politik tempatan.
“Ini dibuktikan oleh komen Perdana Menteri pada hari-hari awal krisis, di mana beliau menggunakan penderitaan rakyat Mesir sebagai satu peluang untuk mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati terhadap perubahan.
“Malaysia sepatutnya memanfaatkan kedudukannya terutama di kalangan negara-negara Islam untuk membawa penyatuan bagi menolak keganasan ini dengan memberi tekanan di peringkat antarabangsa untuk membincangkan krisis di Mesir termasuk pihak yang terlibat melakukan keganasan tersebut,” katanya melalui kenyataan akhbar di sini semalam.
Abdul Khalid berkata, keganasan berterusan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Mesir perlu menjadi satu perkara yang membimbangkan semua pihak.
Menurutnya, keganasan dan tindakan keras oleh tentera bukan penyelesaian kepada mana-mana krisis politik.
Katanya, dalam jangka masa panjang, tindakan sebegini untuk mencapai matlamat politik sentiasa berakhir dengan kegagalan dan penderitaan bagi rakyat.
“Seperti keadaan sekarang yang terus berlaku di luar kawalan, kami menyeru semua pihak dalam konflik Mesir untuk menghentikan keganasan dan kembali kepada proses demokrasi yang aman.
"Peningkatan keganasan oleh mana-mana pihak bukan sahaja meningkatkan pertumpahan darah tetapi juga merumitkan lagi krisis politik dan sosial hingga semakin sukar dikawal,” katanya.
Abdul Khalid berkata, tindakan keganasan oleh tentera Mesir ini mendapat kecaman di seluruh dunia.
Menurutnya, penggunaan kuasa tentera hanya akan membawa lebih kematian dan melemahkan pergerakan politik dan sosial.
Katanya, pihak yang terlibat dalam keganasan sama ada pemimpin-pemimpin tentera atau sebahagian daripada pemimpin kerajaan mesti dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan jenayah kemanusiaan seperti yang berlaku dalam kes-kes besar melibatkan pencabulan hak asasi manusia seperti konflik di Bosnia-Herzegovina.
Beliau berkata, keadilan mesti dilakukan dan proses politik damai berdasarkan prinsip-prinsip demokrasi tulen perlu dimulakan segera.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...