Isu Akta Hasutan: BN mungkir janji, kata DAP
Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini mendakwa keengganan Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memansuhkan Akta
Hasutan 1948 menunjukkan bahawa BN tidak menepati slogan 'Janji
Ditepati' semasa pilihan raya umum.
Malah, ia merupakan sikap
degil yang ditunjukkan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,
yang berjanji pada bulan lalu untuk menggantikan Akta Hasutan dengan
Akta Harmoni Nasional.
“Kedegilan Ahmad Zahid tidak boleh
diterima. Najib perlu menunjukkan kepastian dan kejelasan bahawa beliau
bersungguh-sunguh untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan menuntut Ahmad
Zahid supaya menurut arahan, menukar pendirian dan menyokong
pemansuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Ahmad Zahid sepatutnya meletak jawatan dari kabinet sekiranya terus berkeras untuk menarik balik tentangannya.
“Sekiraya
tidak, Najib perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa beliau memungkiri
janji BN dan curang kepada pengundi dengan tidak memenuhi janji untuk
menghapuskan Akta Hasutan,” katanya.
Lim juga menangkis dakwaan
Ahmad Zahid bahwa tiada peruntukan yang boleh digunakan untuk mengawal
kandungan menghasut jika undang-undang itu dimansuhkan.
Katanya,
peruntukan dalam Kanun Keseksaan masih berhubung kesalahan tersebut
masih boleh digunakan, selain dengan mengemukakan saman sivil.
Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...