Pages - Menu
▼
Pages - Menu
▼
Rabu, Julai 31, 2013
Beri peluang laksana undang-undang syariat Islam
Meskipun kerajaan menjadikan agenda pengurangan jenayah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, namun statistik dan laporan pendedahan jenayah di media akhir-akhir ini menunjukkan sebaliknya.
Daripada data sampel yang dikumpul dari paparan media sejak 1 April 2013 hingga 30 Julai 2013, sebanyak 15 kes jenayah melibatkan senjata api, pedang dan parang telah berlaku. Mangsa jenayah pula meliputi golongan berstatus tinggi hingga ke status rendah.
Tambahan lagi, kejadian-kejadian yang berlaku adalah di perkarangan umum seperti di tepi jalan, tempat parkir kereta dan berdekatan sekolah pada waktu pagi, petang dan malam. Ekoran daripada kes-kes tersebut, timbul beberapa persoalan:
a) Bagaimana penjenayah-penjenayah bersenjatakan pistol dan pedang samurai begitu mudah menembak serta menetak mangsa di lokasi-lokasi awam?
b) Adakah senjata-senjata seperti pistol dan pedang samurai senang diperolehi di pasaran serta tidak terkawal?
c) Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujud banyak kumpulan samseng/mafia yang mempelopori sindiket-sindiket haram seperti pembunuh upahan berprofil tinggi di negara ini?
Saya menyeru kepada semua pihak termasuk daripada PAS agar turut sama berganding bahu untuk membantu pihak polis dalam membanteras jenayah di negara ini menggunakan kapasiti kemampuan masing-masing. Mewujudkan persekitaran negara yang aman dan selamat merupakan agenda serta komitmen seluruh rakyat.
Saya juga menggesa agar saksi-saksi kejadian tidak gentar malah segera tampil ke hadapan untuk membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku. Malah, pihak kerajaan khususnya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dapat mempertingkatkan usaha-usaha seperti sentiasa mengaktifkan keberadaan anggota-anggota polis di lokasi-lokasi panas, memperbaiki CCTV di kawasan awam dan memperkemaskan gerak kerja risikan agar sindiket jenayah dapat ditumpaskan.
Berikut adalah data sampel kes-kes jenayah bersenjatakan pistol dan pedang samurai dari 1 April 2013 hingga 30 Julai 2013.
a) 1 April 2013 - Kejadian tembak dan tetak seorang lelaki di Taman Seri Timah, Balakong.
b) 26 April 2013 - Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati dengan jarak dekat di Lebuh Sentosa, Putrajaya.
c) 7 Mei 2013 - Kejadian tembak di sebuah kedai cuci kereta di Kampung Keliang, Kalumpang, Hulu Selangor.
d) 25 Mei 2013 - Seorang peraih ikan ditembak mati selepas keluar daripada Masjid Nurul Anuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh.
e) 27 Mei 2013 - Seorang lelaki yang sedang berkebun di kawasan rumahnya cedera parah selepas ditembak di Jalan Melati, Nilai.
f) 28 Mei 2013 - Kes menetak, mengikat dan menembak pekerja kontrak Petronas di Dungun
g) 2 Jun 2013 - Seorang pemandu bas sekolah cedera ditembak lima das tembakan di hadapan rumahnya di Taman Rembau, Butterworth.
h) 7 Julai 2013 - Polis Kelantan mengesan tiga kumpulan besar pengedaran dadah yang menyebabkan beberapa kes tembakan.
i) 8 Julai 2013 - Pembunuhan seorang guru Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Kota Bharu selepas terkena tiga das tembakan.
j) 13 Julai 2013 - Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun menjadi mangsa akibat tembakan yang disasarkan oleh penjenayah tidak menepati sasaran di Pangsapuri Golf View Bukit Jambul, Georgetown.
k) 17 Julai 2013 - Seorang guru ditembak mati di Simpang Empat Keladi, Kulim dalam perjalanan ke sekolah.
l) 24 Julai 2013 - Seorang lelaki yang baru selesai dari berjoging cedera parah selepas ditembak di kawasan letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak, Kluang.
m) 26 Julai 2013 - Seorang pemandu lori Pertubuhan Peladang Kawasan Temerloh cedera setelah ditembak dalam perjalanan ke Jerantut.
n) 28 Julai 2013 - Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch cedera parah setelah ditembak di persimpangan jalan Taman Cempaka, Bahau.
o) 29 Julai 2013 - Pengasas Arab Malaysian Bank maut dan isterinya ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.
Jika negara buntu dan pihak berkuasa mati kutu untuk menangani jenayah yang meningkat mendadak secara luar biasa, saya sekali lagi mahu mengulangi pendirian saya yang pernah saya lontar satu masa dulu betapa perlunya perlaksanaan undang-undang Syariat Islam dikuatkuasakan sebagai alternatif dari kegagalan teruk sistem yang ada pada hari ini.
Berilah peluang kepada Islam membuktikan keupayaan dan kemampuannya menangani dan membanteras jenayah yang semakin membarah. Islam pasti sahaja akan memastikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua kaum dan bangsa tetutama insan tertinda dan mangsa jenayah serta Islam menurunkan berkat dan rahmat Allah swt tuhan yang Maha Mencipta.
Pada masa yang sama, insya-Allah Dewan Pemuda PAS Malaysia akan turun padang mengedarkan risalah untuk meniup kesedaran rakyat betapa perlunya "Bersama Perangi Jenayah" di pertengahan syawal selepas ummat Islam menyambut hari lebaran Aidil Fitri yang bakal menjelma tidak berapa hari sahaja lagi.
Institut Pemikiran Fadhil Noor (INFO) sebagai sebuah agensi di bawah lajnah Penerangan DPPM akan diaktifkan sebagai agen yang akan bekerjasama dengan pihak PDRM, menyampaikan kesedaran ini kepada masyarakat menerusi forum dan wacana awam "Bersama Perangi Jenayah" .
NASRUDIN HASSAN adalah ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan ahli parlimen Temerloh.
Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...