KUALA LUMPUR. 3 JUN: Kebangkitan anak muda pelbagai bangsa di
Malaysia menuntut perubahan sosial, ekonomi dan politik adalah yang
terbesar pernah berlaku dalam sejarah negara ini, kata Ketua Umum
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, percubaan media Umno-BN mencetus sentimen perkauman untuk
memecah-belahkan rakyat tidak akan berjaya kerana desakan perubahan
lebih kuat didorong golongan muda di Malaysia.
“Kemahuan anak muda untuk perubahan sangat tinggi. Lihat di kiri dan
kanan kita. Mereka (kerajaan) tidak sedar. Desakan perubahan digerakkan
oleh mereka. Majoritinya anak muda.
“Makna kebebasan dan wacana sekarang ini ialah tentang kefahaman
antara bangsa-bangsa. Ini pilihan pada masa akan datang,” kata Anwar
dalam program wacana bersama Profesor Dr James Piscatori dari Univesiti
Durham di kediamannya semalam.
Anwar menceritakan pengalamannya dalam gerakan Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM) yang membincangkan isu poltik Islam dan masyarakat
Melayu berdepan dengan hujah perkauman dilontarkan Umno-BN ketika itu.
“Semenjak saya dari zaman ABIM, kita berhadapan dengan isu
kelangsungan politik Melayu-Islam. Ia sebenarnya satu desakan dan isu
ini relevan untuk dibahaskan,” kata Anwar.
Namun, Anwar menegaskan beliau ketika itu tetap mengambil pendirian
untuk menentang pendekatan politik perkauman yang diamalkan Umno-BN.
Malah katanya, kaedah itu diteruskan oleh rejim yang sama hari ini
sebelum dan semasa kempen pilihan raya umum ke-13 berlangsung.
Namun, beliau yakin kelompok muda di Malaysia telah memahami sejarah dan menolak agenda sempit yang cuba disebarkan.
“Saya bangga dengan anak muda,” kata Anwar menegaskan setiap anak
muda meskipun dari agama yang berlainan tetap mempunyai peranan dalam
agenda perubahan.
Anwar merujuk pandangan ahli falsafah Perancis, Alexis de Tocqueville
yang menulis di dalam karya ‘Revolt of the Masses’ bahawa kebangkitan
itu itu datangnya daripada rakyat, manakala parti politik hanya sebagai
‘kenderaan’ untuk membawa tujuan.
“Meskipun dalam keadaan media Malaysia yang tidak bebas, kita masih boleh mempertahankan keyakinan kita,” katanya.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...