Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) menegaskan meskipun beliau sendiri ditahan pihak polis namun anak muda tekad untuk merealisasikan himpunan itu yang bakal mengumpulkan ribuan rakyat untuk menuntut sistem demokrasi yang adil dan membantah penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei lalu.
“SAMM antara penggerak utama himpunan #SuaraRakyat505 di Padang Timur (Amcorp Mall) tetap bertekad untuk memastikan himpunan mencapai matlamat, walaupun che'GuBard sendiri ditahan.
“Setakat ini juga, terdapat cubaan pihak polis untuk memberkas che'GuBard tetapi masih gagal,” katanya yang dipetik daripada kenyataan medianya, hari ini.
SAMM juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun pihak berkuasa yang telah menangkap Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang; Pengerusi Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim dan pemimpin veteran, Thamrin Ghaffar hari ini.
“Siri tangkapan itu bermula apabila Adam Adli dicekup lewat minggu lalu, dijangka akan berterusan dengan beberapa lagi tangkapan.
“Negara seolah-olah berada dalam keadaan 'belum merdeka' ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan ke dalam lokap seterusnya didakwa atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan,” tegasnya sambil menyifatkan penangkapan itu sebagai bukti kegagalan transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan Barisan Nasional tidak mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia.
Chegubard juga mendakwa penangkapan itu sebagai berat sebelah kerana rakyat Malaysia dilayan umpama penjenayah besar berbanding penceroboh Sulu di Lahad Datu, Sabah yang mendapat layanan selesa.
“Inilah Malaysia, rakyat perlu bangkit membetulkan negara ini!
“Agenda dan tuntutan yang telah diumum oleh Gabungan "Suara Rakyat 505" juga tidak berganjak, malah kehadiran orang ramai kini jauh di luar jangkaan setelah aksi gestapo yang ditunjuk oleh regim pemerintah, membuatkan rakyat lebih berani ke depan,” katanya.
SinarHarianOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...