Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata dengan pendedahan laporan polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil langkah untuk menyiasat perkara tersebut.
Menurutnya, aduan mengenai isu "blackout" turut diterima daripada rakyat yang dihantar melalui emel dan disertakan gambar kepadanya.
Beliau berkata, SPR tidak boleh memandang rendah terhadap laporan polis yang dibuat oleh rakyat kerana perkara itu adalah benar.
"Saya tak rasa rakyat berani nak buat laporan polis kerana ia adalah salah kalau tak benar.
"Hari ini saya dedahkan laporan polis seperti yang dicabar SPR.
"Jadi SPR perlu siasat mengenai laporan polis yang dibuat, walaupun satu tapi ini cukup membuktikannya," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Sebelum ini, mengikut laporan media siasatan awal SPR menunjukkan sekeping gambar dimuatkan di Internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada PRU13 adalah fitnah dan lakonan itu dirakam sebelum PRU13 lagi.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
“Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di Internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
“Pada gambar itu, ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang kira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR,” katanya.
Mengulas lanjut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa, Timbalan Pengerusi SPR tersebut tidak pernah ikhlas menangani aduan kepincangan perjalanan pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata selepas pendedahan dilakukan, Wan Ahmad perlu bertanggungjawab untuk menerangkan keadaan tersebut memandangkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan tiada sebarang gangguan bekalan elektrik ketika kertas undi sedang dikira.
"Jangan pandang rendah pada rakyat yang buat laporan polis," katanya.
Difahamkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Kob, Kulim, jam 3.39 petang, pada 8 Mei lalu oleh Ketua Unit Peti Undi dan Agen Wakil Calon PKR di tempat kiraan undi di pusat mengundi kawasan tersebut.
Dalam loparan tersebut, pengadu turut menyatakan TNB mengesahkan bekalan elektrik tidak terputus pada 7.25 pm pada hari pengundian, 5 Mei lalu.
Pengadu juga berkata bekalan elektrik hanya terputus di kawasan sekolah yang menjadi tempat mengundi dan proses pengiraan kertas undi.
SinarHarianOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...