PETALING JAYA 13 MEI: 237 laporan penipuan Pilihan Raya Umum ke-13
diterima pasukan #SiasatPRU13 sepanjang minggu ini, dedah Pengarah
Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Katanya, melalui analisa awal #SiasatPRU13, empat kriteria
dikenalpasti dalam siasatan, iaitu margin kemenangan tipis di bawah lima
peratus dan margin kemenangan tipis yang tidak sepadan dengan undi
rosak yang lebih besar dari majoriti kemenangan.
“Dua
lagi kriteria ialah peratusan undi pos dan undi awal yang mengatasi
margin kemenangan dari undi biasa sehingga keputusan pengundi biasa
bertukar akibat pola undi pos dan undi awal diragukan.
“Dan keempat ialah kerusi yang dilaporkan wujudnya penipuan yang ada
bukti kukuh beserta laporan polis,” kata Rafizi pada sidang media di Ibu
Pejabat KEADILAN, hari ini.
Menurutnya, 27 kerusi Parlimen disenaraipendek untuk siasatan lebih
mendalam iaitu Bentong, Kuala Selangor, Baram, Sungai Besar, Pasir
Gudang, Labis, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Tebrau, Bagan Serai, Kota
Marudu dan Beaufort.
Selain itu ialah kerusi Parlimen Setiawangsa, Segamat, Ledang, Balik
Pulau, Kulim Bandar Baharu, Pulai, Kuala Kangsar, Muar, Pendang, Hulu
Selangor, Sabak Bernam, Merbok, Pensiangan dan Saratok.
Tambah Rafizi, setakat ini beliau turut menerima aduan salah laku
pilihan raya di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kebanyakannya
dari Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Enam jenis kesalahan pilihan raya dikenal pasti dan proses mengumpul
bukti sedang dilakukan minggu ini. Kesalahan pilihan raya tersebut
ialah:
1. Pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana undi sudah dibuang orang
lain, membuktikan wujudnya pengundi hantu dalam daftar pengundi.
2. BN membeli undi dengan menawar dan membayar wang atau baucer yanng boleh ditukarkan tunai kepada pengundi.
3. Wujud pengundi-pengundi tidak dikenali didaftarkan di alamat
pemilik rumah, berdasarkan laporan polis dibuat pemilik rumah asal.
4. Dakwat kekal yang hilang dan tidak menepati syarat pengurusan pilihan raya.
5. Kesalahan SPR seperti menandatangani Borang 14 sebelum pengiraan
bermula, atau tidak memberi salinan Borang 14 seperti diperuntukkan
Undang-undang.
6. Pengundi disyaki warganegara asing yang diberikan kad pengenalan dan dibenarkan mengundi.
Justeru, Rafizi menggalakkan saksi atau mereka yang mempunyai bukti
kesalahan pilihan raya untuk tampil membantu pasukan #SiasatPRU13 yang
memulakan siasatan minggu ini.
“Kita perlu seminggu lagi untuk membina kes. Minggu ini, kami dibantu 67 sukarelawan yang terdiri dari peguam dan akauntan.
“Selain analisa kualitatif dibuat #SiasatPRU13, pasukan ini juga
menjalankan analisa kuantitatif untuk mengenalpasti pelbagai perkara.
“Ini menguatkan lagi sentimen rakyat bahawa PRU ke-13 dimenangi Barisan Nasional melalui penipuan,” kata Rafizi.
KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...