Manifesto PR Selangor
Manifesto PR Selangor
Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim 
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) Selangor berikrar untuk terus melindungi hak rakyat negeri itu dengan membuka peluang kepada rakyat Selangor memiliki saham air Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebagai matlamat supaya rakyat Selangor terus mendapatkan air bersih pada harga yang berpatutan perancangan tersebut bakal dilaksanakan menerusi penstrukturan semula industri air.

"Apabila penstrukturan semula syarikat-syarikat industri air berjaya maka seluruh rakyat Selangor akan berpeluang memegang saham-saham yang dikeluarkan oleh syarikat air milik Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna hak air dipegang secara amanah oleh Kerajaan Negeri bagi pihak rakyat," katanya ketika membentangkan Manifesto PR Selangor, di sini malam tadi.

Menurut Khalid, rakyat Selangor adalah pemiliki sebenar air di negeri itu.

Malah katanya lagi, manifesto PR berkaitan air ini diyakinan tidak mampu ditiru oleh Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, manifesto PR Selangor yang bertemakan Meneruskan Kecemerlangan itu turut menggariskan empat komitmen iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Persaudaraan Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat.

Sementara itu, PR Selangor turut berikrar melalui manifestonya untuk memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Kerajaan Negeri yang bertujuan merangka dasar perumahan secara menyeluruh khususnya bagi menyediakan rumah mampu milik yang bermutu serta menguruskan projek-projek perumahan lain yang mengutamakan tahap kemampuan rakyat untuk membeli.

Selain itu, ujar Khalid, PR Selangor juga akan menambah perumahan mampu sewa di bandar-bandar raya dan bandar-bandar bagi keluarga yang tidak mampu memiliki rumah persendirian.
Lebih menarik, melalui komitmen Persaudaraan Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat, PR Selangor turut menawarkan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama.

SinarHarianOnline