KUALA KRAI - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan
nama calon parti itu yang bakal bertanding di dua kerusi parlimen dan
lima kerusi Dun di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam
ini.
Ketua Penerangan PKR negeri, Mohd Roslan Puteh berkata, nama calon akan
diumumkan adalah untuk kerusi Parlimen Tanah Merah dan Machang.
"Manakala untuk Dun pula ialah Paloh, Nenggiri, Kuala Balah, Pengkalan Kubor dan Guchil," katanya.
Katanya, pengumuman dan pengenalan calon itu akan dibuat pada program
Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di padang Majlis Daerah Tanah Merah
(MDTM), jam 9.30 malam ini.
“Saya minta semua jentera parti hadir. Orang ramai juga dijemput datang
bagi mendengar penjelasan isu semasa daripada Anwar,” katanya semalam.
Ketua Cabang PKR Kuala Krai itu berkata, Anwar akan berada di Tanah
Merah sehingga jam 10.30 malam sebelum bertolak ke Jeli untuk program
sama.
Sementara itu, Mohd Roslan berkata, tindakan mengumumkan nama calon
lebih awal untuk bertanding pada PRU13 nanti menunjukkan PKR amat
optimis dan yakin dengan barisan calon yang dipilih.
“Selepas ini, terserah kepada Barisan Nasional (BN) untuk buat percaturan bagi berdepan dengan calon PKR.
"Berbanding BN, PKR cukup bersedia dan tidak samar dalam menentukan calon,” katanya./SinarHarianOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...