Ahli parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata
beliau akan menghantar surat kepada Kementerian Kewangan memohon
penjelasan berhubung wang pampasan RM207bilion kepada warga Malaya yang
menjadi buruh paksa pembinaan 'Landasan Keretapi Maut' Siam-Burma
1942-1946.
Katanya lagi, tujuan beliau menulis surat itu untuk
mendapatkan penjelasan mengapa kementerian tidak menjawab pertanyaan
beliau berhubung wang pampasan itu, sewaktu membangkitkannya di Dewan
Rakyat, November lalu.
Bercakap dalam sidang media di ibu negara
semalam, beliau berkata tindakan itu dibuat selepas dicadangkan oleh
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim sewaktu pertemuan mereka pada
sidang parlimen lalu.
Mohammad Nizar bagaimanapun tidak
menjelaskan secara terperinci bila akan menghantar surat tersebut dan
menegaskan "dalam proses untuk menghantarnya".
"Kalau dia
(kementerian) terus membisu, kerajaan tidak peka dengan rakyat yang
terpaksa menanggung penderitaan, di mana ramai lagi mereka masih lagi
hidup.
"Dan kerajaan tidak bersimpati dengan waris-waris mereka,
yang mana arwah ayah dan datuk mereka berkhidmat kepada kerajaan
Malaysia dan Jepun ketika itu. Tetapi ia tidak dinilaikan. Itu
intepretasi saya," katanya.
Mohammad Nizar berkata tindakan tidak
menyerah wang tersebut, menjadi "satu kesalahan dan bertentangan dengan
budi bicara serta nilai kemanusiaan".
"Ini bukan wang kita, ini
adalah wang darah. Wang darah ini perlu diselesaikan. Kalau tidak, nanti
mereka akan menuntut di dunia dan di akhirat. Sebab itu kita kena
bertanggungjawab," katanya.
Mohammad Nizar turut mengingatkan
bahawa jumlah rakyat Malaya yang dikerahkan membina landasan tersebut
ialah 72,000, tetapi yang pulang ke tanahair seramai 30,000 sahaja.
Bagaimanapun,
beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata mangsa atau waris
belum menerima apa-apa daripada wang pampasan tersebut.
Pada
November lalu, Mohamad Nizar dilapor membangkitkan berhubung pampasan
tersebut dalam Dewan Rakyat tetapi kerajaan tidak memberi respons
mengenainya.
Ekoran itu, beliau mengadakan pertemuan dengan kedutaan Jepun di Malaysia memohon penjelasan berhubung wang pampasan tersebut./MalaysiaKini
"Kaedah GANJIL menjana pendapatan..!!! Rahsia kini terbongkar"
lantik peguam dahulu dan hantar kepada makamah antarabangsa.Sebab ia berkaitan dengan salah laku antarabangsa dan adalah wajib makamah antara bangsa mengendalikanya
BalasPadam