KUALA LUMPUR 30 Jan: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail berkata, setiap rakyat harus bertindak sebagai ejen bagi memantau
perjalanan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) untuk mengelak berlaku
penipuan.
“Setiap
dari kita adalah ejen, walau sekecil mana peranan, kita semua membantu
dalam ke arah perubahan, untuk jadikan Malaysia lebih baik,” katanya.
Beliau berucap pada majlis makan malam untuk mengumpul dana menjelang
PRU 13 anjuran Parlimen Lembah Pantai, di Dewan Himpunan Cina Kuala
Lumpur-Selangor, malam tadi.
Jelas Wan Azizah, rakyat perlu sedar dan tegas dalam mempertahankan
hak mengundi dari diseleweng serta digunakan oleh pendatang asing.
“Dalam pilihan raya, kita semua perlu jadi ‘polis’, sekurang-kurang
jadi Paca (polling and counting agent). Pastikan kemenangan kita, jangan
biar orang asing ambil undi kita,” tegasnya disambut tepukan kira-kira
1,000 hadirin.
Isteri Ketua Umum KEADILAN itu turut menceritakan pengalaman beliau
bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada 2004, dan menjadi mangsa
penipuan Umno BN serta SPR.
“2004, saya hampir menang, tapi undi saya dibuang sebanyak lebih 400
untuk memberi kemenangan kepada pihak lawan. Masa 2007 baru pegawai SPR
itu mengaku berbuat demikian,” jelasnya.
“Alhamdulillah, walaupun diseleweng, saya masih mendahului tetapi SPR
tak puas hati. Dia suruh buat kiraan semula keesokan paginya. Sepanjang
malam semua Paca berjaga di pos mengundi agar tidak berlaku
penyelewengan,” cerita Wan Azizah.
Justeru, beliau menyeru sukarelawan pilihan raya nanti sentiasa mengawasi peti dan kawasan mengundi di tempat masing-masing.
“Jangan tinggalkan pos mengundi, ikut peti undi ke mana-mana saja,” katanya.
“Kita perlu menang, kerana perjuangan ini sudah 14 tahun. Ia sudah
menjadi suatu pengembaraan buat kita, tapi ia belum berakhir. Biarlah ia
berakhir dengan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi./KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...