KUALA LUMPUR 27 DISEMBER: Pertubuhan Pertahankan Taman Merdeka Negara
(PTMN) mendesak kerajaan Umno BN menghenti segera projek pembinaan
Menara Warisan setinggi 118 tingkat di Taman Merdeka Negara di sini.
Pengerusinya, Ishak Surin berkata, pembinaan menara itu suatu
pembaziran selain, mengakibatkan kerosakan terhadap bangunan bersejarah
di sekitarnya.
“Projek itu harus dihenti segera dan kawasannya keseluruhan perlu
diwarta sebagai Tapak Warisan Kebangsaan mengikut Akta Warisan Negara
(2005).
“Ia wajib dipulangkan kepada rakyat sebagai tapak awam sebagaimana
sebelum merdeka,” katanya ketika sidang media Tolak Menara 118 Tingkat
di Dewan Perniagaan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH), tengah hari
ini.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi PTMN, Victor Chin, Setiausaha PTMN,
Chai Chik Ying, wakil Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Jayanath
Appudurai. PTMN pada 5 Januari ini mahu mengadakan acara Pelancaran
Tolak Menara 118 di Stadium Chin Hoo bermula jam 7 hingga 10 malam.
Dalam
pembentangan Bajet 2012, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembangunan
Warisan Merdeka bernilai RM5 billion dalam 3 fasa selama 10 tahun
bermula dengan menara setinggi 118 tingkat di Taman Merdeka Negara.
Mengulas lanjut, Ishak yang juga Pengerusi Pertubuhan Pertahankan
Tanah Warisan Kita (Warisan) mahu kerajaan harus melindungi tapak
warisan kemerdekaan itu untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat.
“Taman Merdeka Negara atau dulunya dikenali sebagai Taman Tunku
adalah mercu tanda negara. Bangunan sekelilingnya membentuk khazanah
rakyat, jadi ia perlu dikekal dan dipulihara untuk kegunaan, kemudahan
dan kenangan awam.
“Terutama Stadium Merdeka, Stadium Negara, Taman Merdeka Negara,
Stadium Chin Woo yang mewakili warisan kolektif dan peringatan sejarah
sebelum dan selepas merdeka,” katanya.
Taman Merdeka Negara dibina pada 1958, Stadium Chin Woo (1953),
Stadium Merdeka (1957) dan Stadium Negara (1962) yang suatu ketika dulu
menjadi ruang awam kepada rakyat.
Ishak juga menempelak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib yang berdiam diri berhubung masalah itu.
“Dua kali kami menghantar surat iaitu pada 5 Disember dan 26 Disember
2012 tetapi masih tidak dapat maklum balas mengenai perkembangan projek
menara ini.
“Surat dihantar untuk mengetahui perkembangan dan rancangan pembinaan
menara kerana kami tidak mahu akhirnya keseluruhan bangunan warisan
sekitarnya dimusnahkan.
“Kami tidak mahu pembangunan menjejaskan masyarakat sekeliling
terutama penduduk setempat, peniaga dan pelajar berhampiran,” katanya./KeadilanDaily
Beriklan Sambil Menjana Puluhan Ribu Sebulan.. Klik Sekarang!!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...