Mohamad Abu Bakar
Mohamad Abu Bakar
Mukadimah

Sebagai seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar sering dipanggil dalam majlis ilmu termasuk pernah dua kali menjadi moderator Wacana Sinar Harian.

Beliau sering melontarkan buah fikiran dan pandangan terhadap isu semasa dan juga politik secara kritikal namun jujur. Wartawan Sinar Harian, NOR ATIEYAH YUSOFF sempat bertemu beliau baru-baru ini. Ikuti temubual tersebut.


Apa pandangan Prof mengenai peranan wacana yang dianjurkan Sinar Harian?

Wacana dilihat sebagai saluran untuk membincangkan perkembangan yang berlaku dalam politik semasa negara kita. Tiada saluran lain yang seperti ini, keistimewaan dapat mengumpul ahli politik (kerajaan dan pembangkang) untuk berbincang dan bukannya tertumpu pada perbalahan fizikal semata-mata, atau membincangkan isu negara bukan lagi sekadar cakap kosong di kedai kopi.

Wacana ini menyediakan saluran yang lebih baik dan bermakna untuk ahli politik menyuarakan pandangan masing-masing. Saya berharap wacana seperti ini dapat diteruskan lagi bagi menambah idea dan hujah yang lebih bernas daripada ahli panel yang terlibat.

Adakah rakyat Malaysia mampu menerima corak politik baru yang mengutamakan hujah, bukannya retorik?

Kita mesti ingat dalam masyarakat terdapat individu yang terbawa-bawa dengan retorik dalam politik. Jumlah tersebut cukup besar kerana ada individu yang lebih terpengaruh dengan polemik atau perbincangan seperti ini. Maka kita memberi ruang kepada mereka di samping kita tidak dapat menghalang golongan yang terpengaruh dengan retorik itu.

Sejauh mana Prof lihat perjalanan Muktamar Pas dan juga Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung baru-baru ini?

Saya nampak daripada kedua-dua perhimpunan itu yang lebih kepada pembentangan dari atas ke bawah iaitu arahan dari atas ke bawah, yang mana ahli parti atau penyokong yang hadir. Mereka ke perhimpunan adalah untuk mendengar kerana mendapat undangan yang diberikan pemimpin mereka.

Dari sudut itu, perhimpunan hanya mempunyai satu sumbangan sahaja iaitu, sebagai medan kepada pemimpin untuk memberi arahan dan pedoman kepada penyokong parti.


Pada perhimpunan parti sebegini, apakah perkara yang perlu diutamakan? Adakah motivasi ahli dengan mengkritik lawan atau memfokuskan kepada usaha menarik pengundi?

Sepatutnya kedua-dua sekali. Saya rasa kedua itu tidak dapat dielakkan. Motivasi dari segi pembentangan mengenai objektif atau perjuangan parti dengan mensasarkan pada kehidupan parti padauntuk menjatuhkan parti lawan.

Itu perkara normal. Kalau itu (kritikan) tiada dalam apa jua perhimpunan, perbahasan akan menjadi ketandusan. Perhimpunan ini adalah untuk menghimpunkan ahli sebagi satu ritual. Ia akan menyemarakkan dan menghidupkan persahabatan terutamanya sesama parti. Ia sebagai satu medan pengenalan dan perkenalan yang barangkali tidak ada pada masa tertentu.


Prof selalu dipanggil untuk menjadi moderator dalam wacana, adakah tugas ini berat terutama jika melibatkan ahli panel yang kontroversi?

Tugas mederator bukan sekadar menjadi pengerusi. Kerana jika kita menjadi pengerusi, kebiasaannya tugas itu menjadi kaku dan mekanikal. Tetapi moderator perlu berinteraksi dengan panelis dengan menghujahkan sesuatu itu dalam bentuk soalan, malah penerangan atau memberi jawapan segera mengenai perkara yang dibangkitkan oleh panelis dan pendengar. Tugas ini tidak semudah yang difikirkan.

Apatah lagi sekiranya berlaku kekecohan dalam majlis, kita perlu menangani dengan bijak dan mengurus dengan baik. Tugas moderator harus memperlihatkan keadilan walaupun ia tidak sepenuhnya berlaku, kadang-kadang nisbah 60 : 40 atau 55 : 45. Ketika  berhujah, kita tidak boleh menyebelahi satu pihak sahaja, sebaliknya perlu seimbang.

Kita juga harus sedar pendirian yang tidak diterima oleh pendengar atau hujah panelis sendiri, kadang kala menjatuhkan diri sendiri. Kita tidak boleh memihak kepada satu pihak sahaja sebaliknya perlu mencantas idea mereka (pembangkang dan kerajaan) agar seimbang.

Sebagai moderator kita perlu menggali peranan yang ada pada panelis. Dan mengkritik mereka untuk menjawab, kita bagi peluang jawab kadang kala kita perlu mengangkat atau memuji mereka. Ia diibaratkan melakukan suatu tindakan yang boleh menjaga dan memartabatkan maruah mereka, pada masa yang sama.


Politik samseng, adakah budaya ini dapat dibendung?

Saya berharap selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) ini, politik samseng dapat dikurangkan. Walaupun kita tidak dapat menghapuskan sepenuhnya perkara ini, kerana politik samseng merupakan sebahagian daripada politik itu sendiri.

Cuma, perkara yang dapat kita lakukan adalah mengurangkan kadar politik samseng tersebut agar masyarakat menjadi lebih beradab, bermaruah dan berhemah ketika berpolitik.

Politik samseng dilihat tiada banyak perbezaannya sama ada ia berlaku hari ini atau lepas, cuma pengisahan itu mungkin berlaku lebih meluas apabila penceritaannya semakin mendapat perhatian. Maka, menerusi media alternatif dan sebagainya, rakyat dapat mengenali apa yang berlaku dahulu sudah berlaku sekarang tetapi ia dapat dibendung.


Bagaimana Prof melihat mahasiswa akan datang mampu bergiat aktif dalam politik berbanding dahulu?

Terdapat kebebasan yang semakin bertambah dengan segala kemudahan yang diberikan kepada mahasiswa. Malah jumlah golongan ini semakin besar dan universiti juga telah bertambah.

Walaupun hanya segelintir sahaja yang mengambil bahagian dalam politik, namun perkara ini dilihat cukup untuk menyeri dan memanaskan lagi keadaan politik semasa.

Tetapi, tidak semua mahasiswa bergiat kerana, hanya sebahagian sahaja berminat untuk menyertai politik.

Mahasiswa yang terlibat dalam bidang ini, dilihat mempunyai berpotensi menjadi ahli politik, bergantung pada sikap mahasiswa.

Jika mereka mendapat liputan secara meluas, mungkin mahasiswa mampu sebaris dengan ahli politik sekarang. Peranan media sangat penting untuk menyebarkan perkara ini.


Bagaimana ramalan Prof mengenai PRU13?

Mahu atau tidak, ia semakin dekat diadakan. Kalau bukan bulan ini (Disember) atau mungkin awal tahun depan, ia tidak dapat dielakkan. Walaupun dengan cara dibubarkan secara sendiri, PRU13 terpaksa diadakan.

Siapakah yang akan menang? Adakah pembangkang mampu kekal empat negeri mereka dan bagaimana situasi 2 per 3 di Parlimen?

Saya berkongsi pendapat dengan (Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk) Shamsul Amri (Baharuddin), bahawa pada kali ini Barisan Nasional (BN) akan terus menang di peringkat nasional. Cuma BN mungkin tak dapat menguasai dua per tiga majoriti seperti mana yang diidam-idamkan. Malah pembangkang diramalkan sama ada dapat mengekalkan kuasa mereka diempat negeri tersebut atau menambah (undi).

Sumber : SinarHarianOnline

Kontraktor Electrikal Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka..