Ketua Pembangkang ini berkata, langkah itu diambil kerana golongan pemandu teksi merupakan mereka yang sering bertemu dengan rakyat dan boleh menjadi penyebar maklumat kepada agenda perubahan landskap politik negara kelak.
"Peranan mereka penting untuk menyedarkan rakyat dan penyokong Umno-Barisan Nasional (BN) bahawa taraf kehidupan semakin terpinggir jika terus mengekalkan kerajaan sekarang.
"Sudah sampai masanya pemandu teksi juga membantu Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihan raya akan datang setelah nasib mereka berpuluh tahun tidak mendapat pembelaan daripada BN," katanya di hadapan lebih 200 pemandu teksi pada himpunan raksasa di Dewan Sivik, malam tadi.
Selain itu, Anwar yang juga Ketua Umum PR menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gagal memahami kehendak pemandu teksi apabila pemberian permit yang dijanjikan gagal ditunaikan malah dimonopoli pula oleh pemimpin tertinggi Umno-BN untuk dijadikan perniagaan.
"Tak cukup rompak elektrik, air, tepung, gula, dan sebagainya, titik peluh orang miskin pun Najib sanggup rompak.
"Permit disewakan kepada pemandu, mereka untung berbilion ringgit kerana niagakan permit yang sepatutnya diberikan kepada pemandu yang layak," katanya yang juga Ketua Umum PKR.
Tegasnya pemandu teksi saban tahun ditindas dan hak mereka untuk mendapatkan permit sendiri dan perlindungan Perkeso turut dinafikan kerajaan BN.
"Setiap hari mereka keluar rumah mempertaruhkan nyawa mereka untuk mencari rezeki untuk anak dan isteri.
"Saya berasa pelik pemimpin BN tak boleh fikirkan keselamatan dan kebajikan golongan ini jika ditimpa musibah," ujarnya.
Tambah beliau, Umno-BN masih tidak berubah, malah terus menerus membudayakan semangat kronisme yang kian menebal dan mementingkan kemewahan hidup pemimpin mereka.
"Saya dimaklumkan ada ketua bahagian Umno itu mempunyai sehingga 250 permit, jadi kita nak suruh taukeh dia pandu teksi sendiri, jika tak boleh pulangkan balik permit itu," tegasnya.
Anwar turut membidas Najib yang cuba mengalih isu dengan pemberian tayar percuma kepada pemandu teksi baru-baru walhal isu permit sehingga kini masih gagal diselesaikan.
"Najib gagal beri permit teksi kepada pemandu atau individu, hanya tahu beri tayar yang TR1M yang hanya boleh bertahan enam bulan.
"Dia (Najib) gagal fahami kesusahan pemandu teksi untuk dapatkan permit bukannya tayar," katanya./SinarHarianOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...