KUALA LUMPUR 31 Oktober: Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi Malaysia
(TEKSI) menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
Memorandum
itu diserahkan oleh Pengerusi TEKSI, Mohammad Ridzwan Mohamad Daud
bersama kira-kira 15 anggota NGO itu yang diiringi Ahli Parlimen Ampang,
Zuraida Kamaruddin.
Ia turut diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azhar Ahmad.
Sebelum ini , Anwar pernah menyatakan kesungguhan Pakatan Rakyat
untuk menamatkan pemberian permit teksi secara besar-besaran kepada
syarikat teksi yang kebanyakannya dimiliki kroni Umno.
Sebaliknya, permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi
secara individu dan menegaskan masalah pemandu teksi akan segera
diselesai sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya.
Mohammad Ridzwan menjelaskan, pihaknya mewakili semua pemandu teksi
di Malaysia meminta kerajaan memandang serius permasalahan mereka.
“Kita menuntut agar permit individu diberikan kepada semua pemandu
teksi tanpa syarat, juga kadar cukai kenderaan untuk pembelian kenderaan
teksi bagi kenderaan nasional dimansuhkan.
“Kami juga menuntut kebenaran diberikan bagi penggunaan teksi selain
dari Proton untuk teksi bandar kerana kos pembaikan dan ketahanan kurang
memuaskan,” jelasnya mengenai kandungan memorandum itu kepada Mohamed
Nazri.
Selain itu, TEKSI meminta kadar harga teksi dikaji semula termasuk
juga kemudahan bas GO KL harus diteliti terutama memberi perkhidmatan
percuma kepada pelancong atau pun bukan warganegara.
Tuntutan juga ditekankan kepada tidak menghadkan keluasan membawa
atau mengambil penumpang seperti di lapangan terbang atau lain-lain
tempat.
“Kita juga turut meminta kaunter teksi berkupon yang diletakkan di
semua tempat yang telah membebankan penumpang dengan bayaran tambahan.
“Penubuhan satu badan di bawah kerajaan juga perlu bagi menjaga hak
dan kebajikan pemandu teksi serta bertindak tegas terhadap ulat-ulat dan
bukan warganegara yang memandu teksi secara bebas,” katanya dipetik Harakah Daily.
Antara tuntutan lain adalah menyeragamkan semula penggunaan pakaian kemeja untuk semua pemandu teksi dan juga perlu memberi
penerangan kepada pengguna dan hak-hak pengguna mengenai pengangkutan terutama teksi melalui media cetak dan elektronik.
Dalam pada itu, Zuraida menekankan agar kerajaan mengambil perhatian
serius terhadap tuntutan ini bagi memastikan hak dan kebajikan pemandu
teksi terus terbela./KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...