Guru dakwa dipecat selepas hadir ceramah Anwar
Seorang guru agama sementara di Labuan yang dilantik oleh Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendakwa diberhentikan selepas
menghadiri ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut
guru tersebut, Qatrun Nada Mohd Latfi, beliau menerima notis pemecatan
selepas mendapat panggilan daripada seorang pemimpin Umno tempatan.
Bagaimanapun
Qatrun memberitahu, perjanjian yang ditandatanganinya sebelum menjadi
guru sambilan ada menyebut bahawa perkhidmatan seseorang guru itu boleh
ditamatkan pada bila-bila masa tanpa memberi sebab.
"Saya
mendengar ceramah Anwar pada 15 September. Dan selepas itu pada 9
Oktober saya dihubungi oleh seorang pemimpin Umno. Kami berbincang
panjang. Antara yang dia cakapkan ialah saya bekerja dengan kerajaan
dan tak perlu terlibat dengan politik.
"Selepas dihubungi
pemimpin Umno itu, saya dipanggil pula untuk bermesyuarat bersama
penolong pengarah pelajaran JAWI bersama guru besar di sekolah saya
mengajar. Dan selepas itu saya ada perjumpaan kali kedua pula di pejabat
JAWI.
"Mereka hanya tanya tentang apakah aktiviti luar saya," kata Qatrun ketika dihubungi Malaysiakini.
Qatrun memberitahu lagi, beliau menerima notis pemecatan pada 24 Oktober dan berkuatkuasa 1 Disember ini.
Katanya lagi, rayuan juga telah dibuat kepada JAWI pada 19 November lalu bagi mempertimbangkan tindakan beliau dipecat.
"Saya
buat rayuan pada 19 November supaya tindakan itu dipertimbangkan dan
minta mereka (JAWI) beri tunjuk sebab kenapa saya diberhentikan tetapi
mereka hanya membalas surat itu dengan memberitahu JAWI boleh
memberhentikan perkhidmatan tanpa memberi sebab seperti syarat-syarat
yang diberi sebelum menjadi guru sementara," katanya yang aktif dengan
NGO Nisa Malaysia (NISA).
Sehubungan
itu, bagi isu ini, Exco Pemuda PAS Labuan, Mohd Faris Abdullah yang
juga merupakan koordinator Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (INSAN)
akan menghantar satu memorandum kepada Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che
Ali (foto-kiri) pada 29 November ini.
Selain itu, Mohd Faris
berkata, disebabkan kegagalan JAWI memberikan sebab yang munasabah di
atas pemecatan ini, ia menguatkan dakwaan bahawa jabatan itu telah
dipengaruhi oleh kepentingan politik sehingga sanggup menzalimi
kakitangan sendiri.
"INSAN juga mengecam tindakan Umno yang
menggunakan agensi kerajaan bagi mengekang kemaraan politik parti lawan.
Umno sebagai sebuah parti politik sepatutnya lebih faham bahawa hak
untuk berpolitik adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin
Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, bahagian pelajaran JAWI di ibu negara yang dihubungi bagi mengulas isu ini hari ini meminta Malaysiakini berurusan dengan pegawai jabatan berkenaan di bahagian Labuan.
Penolong
pengarah bahagian pelajaran JAWI Labuan, Mohd Ghaus Musa yang dihubungi
selepas itu bagaimanapun enggan memberi ulasan kepada Malaysiakini.
"Minta maaf. Saya tidak boleh komen," katanya ringkas apabila ditanya mengenai dakwaan bekas guru sandaran tersebut./MalaysiaKini
JIHAD EKONOMI SERTAI NOW!!.... CEPAT TERKINI!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...