KUALA LUMPUR – Umno-Barisan Nasional (BN) semakin terdesak sehingga
sanggup memanipulasikan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar
berkaitan akidah dan kebebasan beragama, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim
hari ini.
Anwar, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, turut membidas sikap tidak
bertanggungjawab Umno-BN yang menjadikan persoalan agama sebagai alat
permainan politik demi memastikan Umno-BN terus kekal relevan di negara
ini.
“Agama digunakan menjadi alat permainan parti politik bagi pihak Umno,
dan ini tidak sihat, jadi ini menjadi sebab saya pandang serius.
“Ini soal agama, bukan soal mainan politik, keyakinan orang, jadi Umno
terus gunakan cara ini, kenyataan saya juga dah banyak kali
dimanipulasikan Umno sebagai serangan politik,” katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen hari ini.
Anwar tidak menolak kemungkinan anaknya akan mengambil tindakan
mahkamah ke atas media kerana membuat laporan berbentuk fitnah dan
tidak benar berhubung kenyataan Nurul Izzah.
Anwar mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkemungkinan
menerima panggilan telefon daripada ibu pejabat Umno mengarahkan supaya
Nurul Izzah dipanggil untuk disoal siasat berhubung laporan yang
dikaitkan dengannya bertajuk “Melayu bebas pilih agama?” yang disiarkan
Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, yang
ditemui di lobi Parlimen, enggan memberi sebarang komen berhubung isu
tersebut.
“Saya dinasihatkan barisan peguam supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tersebut.
“Bagaimanapun saya bersedia bila-bila masa dan bekerjasama untuk disoal siasat oleh pihak Jais jika dipanggil,” katanya./SinarHarianOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...