KUALA LUMPUR: Pembayaran royalti sebanyak 20 peratus
kepada negeri-negeri tidak akan menjejaskan keupayaan Petronas sekiranya
mekanisme Pakatan Rakyat digunapakai.
Mekanisme yang ditawarkan
Pakatan Rakyat itu tidak akan sesekali mengganggu atau mengubah struktur
cukai atau royalti Petronas sebanyak lima peratus itu.
Sebaliknya,
Pakatan Rakyat berjanji untuk memperuntukan tambahan 15 peratus royalti
itu dari belanjawan persekutuan, tegas Pengarah Strategi PKR, Rafizi
Ramli kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian
sebagai mempertikai kenyataan Petronas semalam, yang mendakwa operasinya
akan terjejas jika bayaran royalti kepada negeri-negeri dinaikkan
daripada kadar lima peratus sekarang kepada 20 peratus.
Rafizi
berkata asas Petronas mengatakan sedemikian kerana menganggap Pakatan
Rakyat akan mengenakan cukai tambahan dalam bentuk royalti kepada
Petronas.
"Jika buat begitu, mengenakan cukai tambahan, memang ia
akan menjatuhkan pendapatan dan keupayaan Petronas. Tapi, Pakatan
Rakyat tidak mencadangkan demikian," kata beliau.
Sebaliknya,
jelas Rafizi tambahan 15 peratus bayaran royalti itu ditarik dari
belanjawan persekutuan, yang jika dilihat hasil minyak kerajaan
persekutuan sekarang sebanyak RM70 bilion setiap tahun.
"Pakatan
Rakyat buat kiraan, kita gunakan hasil tersebut untuk menambahkan
bayaran royalti itu. Lima peratus dari Petronas yang sedia ada seperti
sekarang, tambahan 15 peratus dari peruntukan tambahan," jelas beliau.
Katanya,
Pakatan Rakyat berkeyakinan perkara tersebut boleh dilakukan dari
penjimatan perbelanjaan dan pengurusan kewangan negara yang menolak
budaya rasuah dan ketirisan./HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...