KUALA LUMPUR 16 Oktober: Pujian Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin
Buang terhadap prestasi membanggakan di semua negeri yang ditadbir
Pakatan Rakyat (Pakatan) membuktikan gabungan itu selangkah lagi menuju
ke Putrajaya.
Bendahari Agung KEADILAN, William Leong yakin rakyat makin bijak
menilai dan membeza pentadbiran mana lebih berintegriti, menolak rasuah
serta mengutamakan kepentingan rakyat.
“Ini adalah kali ketiga berturut-turut negeri Pakatan mendapat pujian
Ketua Audit Negara. Lebih membanggakan prestasi kali ini jauh lebih
baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Pakatan Rakyat selangkah lagi untuk menuju Putrajaya. Kalau prestasi
ini dapat dikekalkan, saya pasti rakyat akan memberi mandat kepada
kita,” katanya ketika dihubungi.
Laporan
Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 semalam menunjukkan pengurusan fiskal
yang baik oleh keempat-empat negeri Pakatan dari segi perolehan
pendapatan.
Pulau Pinang mendahului pungutan hasil negeri dengan mencatatkan
peningkatan sebanyak RM192.19 juta atau 46.8% berbanding RM410.70 juta
yang dicatat pada tahun 2010.
Kutipan yang diperoleh kerajaan Selangor pula meningkat sebanyak RM62.5 juta berbanding tahun sebelumnya.
Kelantan yang sentiasa dilabelkan negeri miskin oleh Umno BN pula
mencatatkan peningkatan kewangan kepada RM234.47 juta pada 2011
berbanding RM148.3 juta pada 2010.
Kedudukan kewangan Kedah pula memuaskan apabila baki Kumpulan Wang
Disatukan pada 2011 berjumlah RM252.36 juta berbanding RM328.28 juta
pada tahun lalu.
William berkata, pentadbiran Pakatan sangat mementingkan kejujuran
tanpa mengira waktu dan bukan sekadar mengambil hati sempena pilihan
raya umum, tidak seperti negeri yang ditadbir Umno BN.
Katanya, pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Pakatan
Rakyat juga mencatatkan prestasi yang baik sejak Pakatan mentadbir.
“Di Selangor sebagai contoh, bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo pernah
menganugerah penyapu kepada PBT yang kononnya mencatatkan prestasi
kurang baik. Tetapi selepas Pakatan Rakyat mengambilalih PBT yang diberi
penyapu itu, PBT tersebut mencatatkan prestasi yang baik.
“Ini membuktikan, bukan PBT itu yang bermasalah tetapi, urus tadbir
Umno BN yang penuh dengan rasuah menjadikan seluruh organisasi itu
bermasalah,” tegas William./KeadilanDaily
jangan suka buat rasuah nanti jadi susah
BalasPadam