KUALA LUMPUR 28 September: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkata, Bajet 2013 BN yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak petang ini perlu menghentikan pengagihan kekayaan
kepada kepentingan keluarga dan kroni, sebaliknya mengambil kira seluruh
kebajikan rakyat.
Katanya, kerajaan perlu mengutamakan perkara ini bagi menjimatkan perbelajaan negara supaya ia dapat diagih untuk rakyat.
“Pakatan Rakyat telah bentangkan belanjawan kami. Kita harap Najib
belajar untuk meneliti belanjawan Pakatan supaya tidak ada pembaziran
rasuah tetapi mengamalkan tadbir urus yang baik,” katanya semalam.
Pada pembentangan belanjawan BN di Parlimen hari ini, Najib dijangka
mengumumkan banyak ‘gula-gula’ pilihan raya kepada rakyat sebagai
langkah cepat untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU)
akan datang.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, bajet sedemikian tidak akan mapan
dan tidak meningkatkan tanggungjawab fiskal kerana isu-isu tadbir urus
dan kebertanggungjawaban tidak ditangani.
“Selagi anda tidak bertanggungjawab, pembaziran dan rasuah tidak
ditangani, bajet anda tidak boleh dilihat sebagai boleh dipercayai,”
kata Anwar dipetik The Malaysian Insider.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan rangka kerja asas Bajet 2013
adalah untuk memastikan perbelanjaan cekap dan mencegah kebocoran,
sebelum memutuskan untuk melancarkan langkah-langkah yang bermanfaat
kepada rakyat.
“Saya mahu bajet bertanggungjawab, yang serius menangani isu-isu melibatkan orang ramai.
“Apabila
anda menganggap ini kerangka utama, secara semula jadi, isu-isu
pembasmian kemiskinan datang bersama-sama kerana terdapat banyak
pembaziran pada masa ini.
“Anda mesti melihat isu-isu melibatkan golongan miskin, perumahan
awam adalah isu utama dan tentu saja isu harga di mana terdapat monopoli
ke atas harga barangan keperluan seperti gula dan beras,” kata Anwar
lagi.
Dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan Anwar Rabu lalu, Pakatan
menggariskan rancangan untuk menurunkan harga kereta dengan mengurangkan
duti eksais, menyediakan pendidikan percuma dan mengetepikan pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selain itu, turut ditekankan, reformasi dan ketelusan GLC, membina
daya saing ekonomi, mengangkat martabat wanita, hasil minyak untuk
negeri, reformasi membanteras jenayah dan perumahan untuk rakyat./KeadilanDaily
BERIKLAN SAMBIL BERNIAGA.... CEPAT TERKINI!!
Najib kalau cakap utk kepentingan rakyat mmg laaa berapi2 tp utk merealisasikannya tu hampeh...baik pikir diri sendiri dari sakit kepala pikir psal rakyat..
BalasPadam