KUALA LUMPUR 1 Ogos: Penahanan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi
Ramli di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) pagi ini
menggambarkan politik dendam kerajaan yang ditunjangi Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, motif penangkapan Rafizi jelas berunsur politik bertujuan
mendiamkan beliau daripada terus mendedahkan dokumen melibatkan pimpinan Umno BN.
“Sejak pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC) tahun
lalu, beliau mendapat ramai seteru yang berkuasa dan akan gunakan apa
saja cara untuk mendiamkannya.
“Saya yakin penangkapan ini adalah berkaitan dengan skandal NFC dan
juga George Kent yang baru diberi kontrak (LRT Ampang) jutaan ringgit,”
kata Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan.
Mengecam penangkapan itu sekeras-kerasnya, Anwar juga menyatakan
sokongan penuh kepada Rafizi dan berharap beliau dapat melalui dugaan
dan sentiasa yakin keadilan akan berpihak kepada yang benar dan berani.
“Ini hanyalah satu cara mereka untuk menakutkan rakyat yang ingin
mencari kebenaran di sebalik kontrak dan kronisme yang melibatkan Umno
BN,” kata beliau.
Sependapat dengan Anwar, Timbalannya, Azmin Ali menyifatkan
penangkapan itu bertujuan untuk menutup pembongkaran penyelewangan dan
salah guna kuasa pimpinan kerajaan daripada pengetahuan rakyat.
Beliau berkata, penangkapan itu membuktikan Perdana Menteri sangat terdesak berhubung skandal NFC yang membelenggu Umno BN.
“KEADILAN percaya Umno BN sedang mengguna pelbagai cara untuk menutup
pekung penyelewengan dan salah guna kuasa daripada menjadi pengetahuan
rakyat.
“Namun kita yakin, rakyat Malaysia akan terus bersatu menolak rasuah
dan salah guna kuasa demi kemaslahatan negara,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau menyeru rakyat bangkit menyokong Rafizi serta mendesak mahkamah membicarakannya dengan adil.
Semoga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan perjuangan demi rakyat,” kata Azmin.
Rafizi bukan penjenayah
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden, Nurul Izzah
Anwar turut mengutuk tindakan polis mengancam untuk memecahkan pintu
rumah Rafizi ketika serbuan polis pagi tadi.
“Kita perlu selamatkan beliau. Jangan berputus asa kerana Malaysia
miliki rekod teruk dalam menangani pejuang,” katanya yang turut berada
di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Ketua Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali dalam facebook beliau
mengatakan, suara kebenaran anak muda dan cerdik pandai serta jujur dan
berani yang ditekan pemerintah adalah tanda perubahan besar yang hampir
tiba.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga
mempersoal tindakan polis dan Bank Negara Malaysia di awal pagi lagi
menyerbu rumah Rafizi, seolah-olah beliau adalah penjenayah besar.
“Ini menunjukkan sistem keadilan Malaysia masih sama,” kata Shamsul dalam twitternya.
Tanda Umno BN akan berkubur
Presiden Kelab Penyokong Anwar Ibrahim (AIC), Saifuddin Shafi
Muhammad berkata, penangkapan oleh pentadbiran Perdana Menteri itu
membawa pentafsiran positif bahawa nyawa BN akan berakhir tidak lama
lagi.
“Cukuplah penindasan, penghinaan dan rompakan yang mereka (Umno BN)
lakukan bukan sahaja ke atas harta tetapi hak dan maruah rakyat
Malaysia.
“Janji bahawa BN menzalimi rakyat sudah ditepati, kini masa untuk
membalas dengan menumbangkan mereka pada PRU 13 akan datang,” katanya.
Tangkapan ‘double standard’
Srikandi juga mempersoal ketelusan sistem perundangan negara kerana
bertindak ‘double standard’ dalam kes yang melibatkan pimpinan
Pembangkang.
“Dalam kes ini sepatutnya yang menjadi tumpuan ialah penyelewengan
dan rasuah oleh pimpinan Umno, bukan individu yang cuba untuk
menyelamatkan hak rakyat,” kata Ketuanya, Siti Aishah Shaik Ismail.
Katanya, dengan pendakwaan ini jelas menunjukkan kerajaan Umno semakin terdesak dan tertekan dengan segala bentuk
penyelewengan yang dibongkar pimpinan Pakatan Rakyat.
“Srikandi mengajak seluruh anak muda Malaysia untuk bangkit dan
berani menyatakan kebenaran walaupun ditekan oleh pemerintah yang
zalim,” katanya.
Bukti GTP kerajaan lemah
Pendakwaan Rafizi turut mendapat reaksi di kalangan pimpinan DAP dan PAS.
Ketua Publisiti DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu memberi tamparan
hebat kepada usaha membasmi rasuah yang mahu dilaksanakan pentadbiran
Perdana Menteri.
“(Ia) melemahkan lagi prestasi yang lebih rendah mengenai Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan
(GTP),” kata Pua dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai ‘membalas dendam’ terhadap si pembocor maklumat.
Langkah Rafizi patut dipuji
Pemuda PAS pula beranggapan, penahanan bekas Ketua Eksekutif Pejabat
Penasihat Ekonomi Selangor itu menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak
ikhlas dan telus dalam memastikan negara bebas daripada rasuah.
“Kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh
lebih utama dan penting berbanding tindakan tindakan beliau yang
membocorkan maklumat,” kata Naib Ketua Dewan itu, Raja Ahmad Iskandar
Raja Yaacob.
Raja Ahmad malah berkata, langkah Rafizi itu wajar dipuji kerana bertujuan memastikan negara bebas daripada ‘penyangak rasuah’./KeadilanDaily
#Susu Kambing Terkini!!!! Goat Milk... Dapatkan Segera!!!!!!!!!!!!
#Kopi Susu Harimau!!!! Terkini!!!!!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...