Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, beliau sendiri terkejut melihat jumlah kehadiran yang disifatkan meningkat secara mendadak, jika dibandingkan program anjuran KEADILAN dan Pakatan Rakyat beberapa tahun lalu.
Justeru katanya, Palong merupakan salah satu daripada kawasan DUN yang bakal membantu hasrat Pakatan Rakyat menawan Negeri Sembilan, pada pilihan raya umum akan datang.
“Dengan kebangkitan hingga 83 peratus undi Cina menyokong Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan, tidak ada sebab lagi untuk Pakatan Rakyat tidak boleh mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.
“Undi Melayu dan India juga sedang berubah, dengan perubahan yang lebih nyata dari kalangan pengundi-pengundi Cina yang begitu besar. Saya tidak syak lagi bahawa Negeri Sembilan akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat,” tegasnya.
Katanya, KEADILAN semakin mendapat tempat di kalangan peneroka Felda, ekoran tindakannya yang berterusan memperjuangkan isu peneroka.
“Antara sebab peneroka-peneroka Palong secara tiba-tiba dan mendadak menyokong KEADILAN kerana tindakan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal dan peguam KEADILAN yang memberikan khidmat undang-undang kepada peneroka yang menghadapi masalah,” ujar beliau.
Menurutnya, tidak kurang dari lima kes telah difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban, melibatkan isu kayu getah yang harganya telah dimanipulasikan oleh Felda dan JKKR.
Peneroka-peneroka Felda Palong 4, 5 dan 6, katanya, turut memfailkan tuntutan di mahkamah bagi menuntut bayaran lebihan pendapatan yang tidak dikembalikan oleh Felda kepada mereka.
Katanya lagi, ia termasuk kejayaan peneroka Palong 9 menghalang permohonan injunksi kontraktor lantikan Felda untuk kerja penebangan dan membeli pokok getah di tanah mereka.
Keputusan-keputusan ini, kata Suhaimi, telah mendorong semangat peneroka Felda yang selama ini diugut oleh pengurusan Felda dan Umno.
Menurut Suhaimi, sambutan luar biasa masyarakat peneroka Felda di Palong, merupakan hasil kerja keras yang dilakukan Rebin Birham, Naib Ketua KEADILAN cabang Jempol dan juga calon KEADILAN di DUN Palong.
Felda Palong terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Palong dan kini diwakili oleh ahli politik Umno, Datuk Aziz Samsuddin, sementara Kerusi DUN pula dipegang Datuk Lilah Yasin./KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...