Pages - Menu

Pages - Menu

Ahad, November 27, 2011

Transformasi Najib hanya pembohongan - Prof Dr Abdul Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 27 Nov: "Transformasi yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu pembohongan besar semata-mata, malah apanya dibanggakan olehnya itu hanya sekadar gimik," jelas Pakar Undang-undang Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Pandangan itu dinyatakan oleh Abdul Aziz apabila ditanya dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang telah dibaca kali kedua oleh Perdana Menteri di Parlimen pada Khamis yang lepas.

Beliau juga mempersoalkan di mana sebenarnya transformasi yang diperkatakan oleh Najib malah menyifatkan rang undang-undang tersebut lebih kejam dari Akta Polis 1967 yang sudah dilihat kejam sebelum ini.

"Rang undang-undang tersebut sebenarnya tidak masuk akal langsung dan saya sendiri tidak tahu kenapa ia dibentangkan, kalau sebelum ini Akta Polis 1967 telah dilihat kejam malah cadangan perlaksanaan yang baru ini lagi teruk.

"Dari sudut permohonan permit yang tidak munasabah malah tempat-tempat yang di tetapkan seperti hospital mahupun sekolah tidak dibenarkan sebarang perhimpunan diadakah tidak sesuai.

"Katakan kakitangan hospital dan juga guru-guru yang tidak berpuashati dengan sebarang perkara ingin mengadakan bantahan sudah pasti di tempat mereka bekerja dan kalau tempat tersebut tidak dibenarkan di mana mereka ingin membantah," jelasnya.

Abdul Aziz memberitahu dari sudut perlembagaan beliau meletakkan undang-undang yang tidak menepati apa yang terkandung dalam perlembagaan yang memberikan kebebasan rakyat berhimpun malah ia juga tidak menghormati amalan demokrasi negara.

"Malah tindakan yang akan dikenakan kepada penganjur jika terdapat kanak-kanak mahupun warga asing berada di kawasan ceramah itu juga satu yang di luar kawalan, adakah kita boleh menghalang kanak-kanak hadir ke tempat ceramah jika ia dilakukan di kawasan terbuka itu persoalan yang perlu difikirkan oleh Najib.

"Selain itu juga denda yang dikenakan itu tidak munasabah dengan kesalahan yang dilakukan iaitu RM10 ribu hingga RM20 ribu, dalam pada itu kuasa kepolisan untuk mengunakan kuasa mereka dalam menghalang penganjur agar mengikut perintah mereka dan ini membolehkan berlakunya keganasan jika polis bertindak sedemikian.

"Jelas wujud ugutan dalam undang-undang terbaru ini, Najib mungkir janji dan jelas apa yang dilakukan olehnya ini lebih teruk lagi dengan apa yang dijanjikan," ujarnya.

Tambahnya, memang menjadi satu rekod dalam pentadbiran Najib yang mana undang-undang barunya itu lebih teruk dari akta yang ingin dimansuhkan.

"Najib sentiasa mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah, kenyataannya tidak konsisten dan semua dilihat memperbodohkan rakyat.

"Kerajaan hanya melihat mereka sahaja yang betul dan apa yang dibuat oleh orang lain semuanya salah, inilah akibatnya bila tidak pernah menjadi pembangkang dan apa yang saya lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan itu sebenarnya untuk kebaikan mereka sendiri," katanya lagi.

Abdul Aziz bertegas kerajaan perlu memansuhkan semua undang-undang mahupun akta yang dilihat menyekat kebebasan rakyat malah yang bertentangan dengan dasar demokrasi negara bukannya mewujudkan Rang Undang-Undang baru untuk terus menyekat demokrasi rakyat dan perlembagaan negara.HarakahDaily

"Kaedah GANJIL menjana pendapatan..!!! Rahsia Webinar kini terbongkar"

1 ulasan:

  1. Transformasi Undang-undang 1Malaysia ( RUU Perhimpunan Aman 2011) yg diperkenalkan oleh Najib akan menghancurkan sistem Demokrasi di Malaysia...

    BalasPadam

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...