Aziz Bari: Jelaskan pendirian, ahli akademik dan politik
Pakar perlembagaan negara, Profesor Abdul Aziz Bari mendakwa beliau mempunyai senarai nama ahli akademik, pensyarah dan profesor yang terbabit secara langsung dengan kegiatan politik, khususnya berkaitan Umno di negara.
Justeru, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata kementerian pengajian tinggi perlu membuat pendirian yang jelas berhubung pembabitan ahli akademik dengan politik.
“Dalam sebarang kes, mungkin kementerian perlu membuat pendirian di mana profesor terbabit dalam parti politik.
“Kes mereka, lebih teruk daripada apa yang saya lakukan. Saya berpendapat apa yang saya lakukan masih dalam kerangka kerja,” katanya dalam kenyataan medianya kepada Malaysiakini.
Abdul Aziz sebelum ini digantung tugas kerana mencetuskan kontroversi apabila beliau mengulas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.
Semalam, Mingguan Malaysia memetik kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mencabarnya meletakkan jawatan sebagai pensyarah dan menyertai parti yang disokongnya.
"Saya menasihatkan Abdul Aziz Bari berhenti menjadi pensyarah kalau mahu memilih pentas politik. Jika sudah menyertai ceramah politik yang mengandungi fitnah, tidak perlu menunggu tindakan daripada UIA lagi.
"Sebaiknya dia terus berhenti dan menyertai parti yang disokong," kata Mohamed Khaled dipetik akhbar milik Umno itu.
Kenyataan bercanggah
Menurut Abdul Aziz, kenyataan menteri itu jelas bercanggah dengan timbalannya, Datuk Saifudin Abdullah yang berkata tidak ada masalah bagi pelajar untuk mengambil bahagian dalam politik.
Justeru, katanya, kerajaan perlu membuat pendirian sejauh mana ahli akademik dibenarkan terbabit dengan politik.
Mohamed Khaled yang juga ahli parlimen Pasir Gudang dipercayai mengulas tindakan pakar perlembagaan itu yang memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat Johor Baharu pada malam Sabtu malam lalu yang dikhuatiri akan mempengaruhi penduduk.
“Saya hanya berucap mengenai undang-undang dan politik, yang ada kalanya sukar tidak dikaitkan dengan politik. Lagipun saya bercakap kepada masyarakat marhaen, bukan kepada ahli akademik.
“Bagi saya, rakyat jelata juga mempunyai hak untuk mengetahui tentang perlembagaan.
“Namun jika itu dianggap sebagai politik, maka perlembagaan sekarang perlu dibuang dan jadikan negara ini sistem satu parti atau pemerintahan autoritarian,” katanya lagi.
Menurut Abdul Aziz, pembabitan ahli akademik dengan politik, khususnya yang membabitkan BN dan Umno bukan perkara baru atau rahsia lagi.
Kes Anwar Ibrahim
Sebaliknya, perkara itu menjadi kontroversi atau isu jika kenyataan atau tindakan ahli akademik berkenaan tidak membawa manfaat kepada parti pemerintah.
“Bagaimana pula dengan profesor kanan yang merangka draf ucaptama presiden Umno?
“Begitu juga dengan ahli akademik dan profesor yang seringkali menjadi penceramah program Biro Tata Negara (BTN) atau bengkel kerja Islam Hadhari. Ini jelas adalah berpolitik kerana ia adalah polisi Umno,” katanya.
Selain itu, menurut Abdul Aziz, bukan menjadi rahsia bahawa sesetengah ahli akdemik di universiti tetentu yang melobi jawatan kanan dengan menjaja isu kes liwat dan seks Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ada ahli akademik yang melobi jawatan dengan secara umum berkata Anwar Ibrahim bersalah kerana meliwat.
“Ini jelas satu jenayah kerana kes masih dibicarakan di mahkamah. Tindakan ini subjudis,” katanya.
Bagaimanapun menurut pensyarah itu, buat masa ini, beliau tidak berhasrat menamakan ahli akademik yang terjebak dengan politik Umno itu.MalaysiaKini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komenlah dan berhujahlah dengan baik...