Ketua-Polis-Johor,-Datuk-Mohd-Mokhtar-Mohd-Shariff
JOHOR BAHRU – Polis tidak membatalkan permit ceramah yang dimohon PKR namun menegaskan ia belum diputuskan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis menolak permohonan PKR untuk mengadakan ceramah di beberapa daerah di negeri ini selepas mengambil kira keselamatan rakyat dan untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Katanya, polis menerima permohonan PKR kira-kira tiga hari lalu tetapi menolaknya kelmarin.

“Permit dipohon menerusi ketua polis daerah. Bagi sebarang kelulusan yang diberikan, perkara tersebut akan dikaji dengan menitik beratkan akan faktor keselamatan.

“Namun jika permohonan gagal, mereka boleh menghantar rayuan kepada saya (Ketua Polis Negeri) bagi mengkaji semula permohonan mereka untuk mengadakan ceramah di sini dan saya telah diberitahu mereka akan hantar hari ini (semalam),” katanya dalam pada sidang media, di sini, semalam.

PKR menerusi Timbalan Presidennya, Mohd Azmin Ali yang menghadiri majlis perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini, semalam mendakwa polis membatalkan semua permit ceramah yang dikeluarkan untuk beberapa kawasan pada saat akhir.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Mokhtar berkata, tidak timbul isu permit dibatalkan kerana polis tidak pernah meluluskan permohonan untuk mengadakan ceramah yang dibuat PKR tiga hari lepas.

Mohd Mokhtar turut mengingatkan PKR agar tidak meneruskan aktiviti ceramah selagi permit masih belum diluluskan.

“Jangan menguji kesabaran kita kerana ia adalah tugas polis dan tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika mereka mengadakan apa-apa ceramah di negeri ini tanpa sebarang permit daripada pihak polis,” katanya.SinarHarian