Pages - Menu

Pages - Menu

Rabu, Julai 06, 2011

Tiada huru-hara pertukaran pemimpin negara - Nik Aziz


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain.

NONEMerujuk kepada kesediaan pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memindahkan perhimpunan 9 Julai ini tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam, Nik Aziz mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana mencemar duli untuk campur tangan.

“Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

“Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Seri Paduka dan dimuatkan di Facebook.

NONESemalam BERSIH 2.0 yang diwakili oleh pengerusinya Datuk S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan di Istana Negara.

"Kami telah memberitahu Tuanku bahawa kami menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

"Sehubungan itu, perhimpunan di atas jalan raya tidak akan berlangsung (pada Sabtu)," kata Ambiga kepada pemberita selepas bertemu Tuanku lebih satu jam setengah.

NONEAhad lalu, Seri Paduka bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

NONESejak seminggu lalu hambatan ke atas BERSIH 2.0 menjadi-jadi dengan tidak kurang 100 orang menjadi mangsa termasuk wakil rakyat Pakatan yang memakai sertai memiliki baju kuning pertubuhan itu ditangkap polis.


Berikut surat penuh Nik Aziz itu:

Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011. Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihanraya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya. Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku di atas kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia. Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihanraya yang adil tidak akan mendatangkan huruhara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata. Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).

Sumber : MalaysiaKini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...