Pages - Menu

Pages - Menu

Ahad, Julai 03, 2011

Akhirnya..!! Yang di-Pertuan Agong Bertitah Juga..!!

July 03, 2011
 
KUALA LUMPUR, 3 Julai — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”
“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.
“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.
“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda dalam kenyataan yang diperoleh dari Bernama Online.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.
Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

“Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin,” titah Tuanku Mizan lagi.
Tuanku Mizan juga bertitah baginda mahu “dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.”

“Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan,” katanya.
Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya.
“Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun,” titah Tuanku Mizan.TheMalaysiaInsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komenlah dan berhujahlah dengan baik...